PKR dukacita hukuman denda RM3,000 ke atas MP Batu, Tian Chua – Saifuddin Nasution

Semalam (9 Mac 2017) Sdr Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN, telah dihukum denda RM3,000 kerana mengeluarkan perkataan terhadap seorang anggota polis lelaki berpakaian biasa yang merampas telefon sdr Tian Chua di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 2013.

KEADILAN amat berdukacita dengan hukuman ini, kerana tuduhan ini merupakan kali pertama seksyen 509 Kanun Keseksaan – yang biasanya diguna untuk mempertahan kehormatan seorang wanita dari dicabuli secara seksual – diguna terhadap seorang Ahli Parlimen dengan cara sebegini.

Walaupun hukuman ini tidak menjejaskan status sdr Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu selagi proses rayuan belum selesai, namun ia mungkin menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-14 kelak.

Pada ketika ini, terdapat lebih 20 orang pimpinan KEADILAN yang dihadapkan ke mahkamah, di mana hampir kesemua mereka dituduh di bawah Akta Hasutan atau Akta Perhimpunan Aman.

Dari jumlah yang besar ini, 11 merupakan Ahli Parlimen atau ADUN. Ini bermakna, sama seperti sdr Tian Chua, sekiranya mereka didapati bersalah dan dihukum denda lebih RM2,000 atau dipenjara lebih setahun maka ada kemungkinan ramai pimpinan KEADILAN akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU14.

Ini bukanlah perkembangan yang baik buat demokrasi di Malaysia, lebih-lebih lagi di kala negara dibelenggu pelbagai krisis kewangan, tatakelola, rasuah, politik dan kepimpinan.

Maka di sini saya bagi pihak pimpinan KEADILAN menegaskan bahawa usaha untuk mematahkan semangat kami tidak akan berjaya, malah KEADILAN terus istiqamah dalam perjuangan Reformasi dan membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN
10 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *