Buat Ustaz Muda Pas, jangan jadi burung tiong dan suka hati ‘menerakakan’ orang lain

Biasanya, kebanyakan Ustaz Pas akan bercakap tentang agama secara umum atau borong. Apabila diminta penjelasan lanjut tentang perkara yang dicakapkannya, dia akan hukum orang bertanya tolak hukum Islam, jadi agen kafir atau masuk neraka. Ustaz macam itu mahu kita telan saja apa yang dia kata dan tak boleh tanya apa-apa.

Contohnya, dia baca maksud ayat al-Quran, sesiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yg diturunkan oleh Allah, mereka orang kafir. Kita tanya dia, berhukum macam mana? Sesiapa dalam ayat itu, siapa? Apa-apa yang diturunkan oleh Allah itu, apa? Tidak berhukum dengan hukum Allah itu, macam mana? Jadi kafir itu, kafir aqidah atau apa? Bila orang itu jadi kafir?

Dia akan tanya kita balik, hang nak jadi kafir ke tolak hukum Allah? Awat hang suka ke masuk neraka sebab tolak hukum Allah? Hang nak masuk geng kafir ke lawan hukum Tuhan? Hang sapa nak lawan hukum Allah? Hang rasa hebat sangat ke nak masuk neraka? Sapa hang berbanding Nabi? Laaa… Kita minta penjelasan lanjut, dia hukum kita pulak.

Dia akan kata lagi, tanya buat apa, itu perintah Tuhan, buat sudahlah. Kalau hang mati tak buat hukum Tuhan, hang masuk neraka, hang nak tanya lagi ke? Dia kata, Tuhan suruh buat, bukan suruh tanya. Inilah gaya berfikir dan cara interaksi ustaz (terutama yg masih muda) apabila dia disoal.

Sudahlah ustaz itu istinbat hukum daripada terjemahan ayat, bukan teks al-Quran yang asal, orang yang bertanya pula mahu dinerakakan. Kadang-kadang ayat atau hadis yang dibaca lintang-pukang jadinya.

Maknanya, ustaz yang sebegitu umpama burung tiong saja. Dia tidak study, mengkaji dan memahami dengan mendalam tentang ayat yg dibacanya. Inilah proses indoktrinasi yg berjalan begitu lama dalam Pas, bukan saja berlaku dalam kalangan ustaz muda Pas, bahkan juga yang senior dan ustaz jadi-jadian seperti PJ Pas Perak misalnya.

Sama juga dengan isu tak boleh ambil orang kafir sebagai wali (auliya’). Dikumpulkan ayat al-Quran tentang perkara itu lalu dijadikan hujah, ini dalil tak boleh lantik orang kafir termasuk orang DAP jadi pemimpin, menteri, exco dan tak boleh undi depa dalam pilihan raya.

Apabila kita minta penjelasan, auliya’ dalam ayat itu siapa? Wakil rakyat termasuk auliya’ ke? Ambil orang kafir sebagai auliya’ itu maksudnya undi ke? Adakah auliya’ itu maknanya pemimpin dalam konteks demokrasi? Macam mana dengan pemimpin sebuah agensi yang kafir? Bekerja dengan orang kafir boleh ke?

Dia serang kita balik, hang nak masuk neraka dengan puak kafir ke? Al-Quran kata tak boleh, tak boleh la, hang nak lawan al-Quran? Awat hang lebih pandai daripada ulama ke? Hang pi la jilat pemimpin kafir hang tu? Begitulah antara jawapan balas kepada soalan untuk dapatkan penjelasan lanjut.

Begitulah Ustaz Pas bersyarah di mana-mana dengan berapi-rapi, secara umum, sembrono, tiada perincian, faham secara literal, tak faham konteks ayat dan borong maksud ayat utk semua situasi tanpa mengira realiti dan keutamaan.

Apabila mereka ditegur, dan dibetulkan fahaman depa, depa kata pula, hang nak buat tafsir baru ke? Hang pakai tafsir Yahudi ke? Hang ikut cakap Siti Kasim ke? Hang liberalis ni…! Ke situ pulak kita dihukumnya apabila kefahaman mereka cuba dibetulkan.

Sebenarnya Ustaz Pas sebegitu malas membaca, malas berfikir dan suka ambil jalan singkat dalam memahami nas agama. Ada dalam kalangan mereka yang bersyarah itu, tak pernah sentuh pun kitab Ibnu Kathir atau al-Qurtubi, sehingga ada yang kata Fathul Bari itu kitab fiqh yang besar. Maknanya dia tak pernah buka Fathul Bari pun, tapi bersyarah berapi-api.

Aku bukanlah nak kata aku hebat dan tahu semua benda, tapi aku nak minta kepada Ustaz Pas terutama yg muda (termasuk yang tua), sebelum berkuliah atau bersyarah, bacalah buku. Dengarlah kuliah syeikh-syeikh besar dari al-Azhar, Syria, Yaman dan serata dunia melalui You Tube. Banyak manfaatnya.

Janganlah jadi burung tiong. Bertanggungjawablah dengan perkara yang kita sampaikan kepada masyarakat. Dan, paling penting jangan malu untuk terus belajar dan mengakui kejahilan kita. Jadi Ustaz Pas tak semestinya betul semua.

UST ZOLKHARNAIN ABIDIN
Mantan Adun Pas Santan, Perlis
(Sesi 1999 – 2004)
11 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *