Kedutaan Korea Utara ditutup, Najib panggil mesyuarat MKN, polis percaya 2 suspek dalam kedutaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN), sementara polis menutup Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, sebagai tindakan balas balik terhadap keputusan Pyongyang melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara komunis itu.

“Perbuatan hina ini, menahan rakyat kita sebagai tebusan, adalah melanggar semua undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan bernada paling keras setakat ini sejak berlaku krisis diplomatik dengan Pyongyang susulan pembunuhan Kim Jong Nam bulan lalu di KLIA2.

Najib berkata, keutamaannya sekarang ialah melindungi rakyat negara ini di Korea Utara dan Malaysia “tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala langkah yang perlu apabila mereka terancam”.

“Kami berharap agar ia diselesaikan dengan pantas. Saya menyeru kepimpinan Korea Utara untuk dengan segera membenarkan rakyat kami untuk meninggalkan negara itu untuk mengelakkan sebarang masalah yang selanjutnya,” katanya.

Hubungan diplomatik antara dua negara ini semakin tegang sejak 7 Mac lalu, 3 minggu selepas kematian Jong Nam akibat serangan agen saraf, dipercayai dilakukan 2 wanita yang diupah rejim Korea Utara.

Korea Utara pula bertindak menerusi pegawai media kawalan kerajaan Korea Central News Korea berkata semua rakyat Malaysia di Korea Utara dilarang buat sementara waktu meninggalkan negara itu sehingga insiden yang berlaku di Malaysia diselesaikan dengan baik.

Bertindak balas, tidak lama selepas itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN menerusi Jabatan Imigresen tidak membenarkan mana-mana pegawai atau kakitangan di Kedutaan Korea Utara keluar dari Malaysia dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Pada Sabtu, Malaysia mengisytiharkan duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai pesona non grata. Beliau pulang ke Korea Utara petang 6 Mac lalu.

Tetapi polis Malaysia percaya suspek dalam kes pembunuhan itu masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara.

Ketegangan tercetus selepas Pyongyang membantah bedah siasat polis Malaysia terhadap mayat Kim Jong Nam, abang sebapa diktator Korea Utara yang dipercayai dibunuh di terminal klia2 pada 13 Februari.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu wartawan yang menunggu di luar rumah banglo yang menempatkan Kedutaan Korea Utara hari ini, pihak berkuasa sedang cuba mengenal pasti kakitangan kedutaan.

“Kami sedang cuba mengenal pasti semua staf kedutaan di sini secara fizikal,” katanya kepada Reuters, menambah yang mereka tidak dibenarkan meninggalkan negara “sehingga kami berpuas hati dengan jumlah mereka dan di mana mereka berada”.

Dipercayai terdapat 11 rakyat Malaysia berada di Korea Utara pada masa ini. Agensi Berita APF pula melaporkan terdapat kira-kira 1,000 ekspatriat Korea Utara tinggal di Malaysia.

Kebanyakan mereka terbabit dalam perniagaan seperti animasi komputer, pembuatan dan beberapa “aktiviti pasaran gelap”, kata laporan itu.

Sementara itu, dua warganegara Korea Utara yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri diktator Korea Utara, masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Berapa lama mereka mahu sembunyi di kedutaan… Hanya masa menentukan bila mereka keluar,” Khalid memberitahu pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata Korea Utara enggan bekerjasama dalam penyiasatan kes pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb lalu.

Pembunuhan itu dipecayai menggunakan agen saraf VX yang diklasifikasikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *