Pemuda AMANAH Kapar dakwa harga siling minyak setiap minggu akan ‘bunuh’ pengusaha stesen minyak Bumiputera

KOMEN I Pemuda AMANAH Kapar menyifatkan pengumuman daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin berkenaan harga siling petrol dan diesel yang bakal diumum setiap minggu mulai April nanti akan ‘membunuh’ pengusaha stesen minyak yang kebanyakannya adalah Bumiputera.

Setiap pengusaha stesen minyak terikat dengan jadual pembekalan dan harga yang telah ditetapkan oleh depoh pembekal minyak masing-masing. Secara teorinya mereka boleh menolak, merombak jadual pembekalan tersebut, tetapi secara praktikalnya ia tidak mudah seperti yang disangka.

Kebiasaannya, setiap syarikat minyak akan mengetahui kadar harga runcit petrol/diesel beberapa hari sebelum bulan yang baru. Jika harga dijangka turun, pihak depoh akan ‘menasihati’ pengusaha stesen minyak menerima bekalan walaupun setiap stesen minyak memiliki bekalan yang mencukupi.

Ini kerana jika bekalan dihantar kepada pengusaha stesen pada bulan yang baru (apabila harga turun), maka pihak depoh terpaksa mengikut harga yang lebih murah.

Ini bakal mendatangkan kerugian kepada mereka. Justeru pihak pengusaha stesen minyak dinasihati untuk menerima bekalan yang dicadangkan.

Kiraan mudah JIKA HARGA TURUN & HARGA NAIK

>> JIKA HARGA TURUN
Bekalan masih ada 50,000 litre
Bekalan tambahan 30,000 litre
Jumlah bekalan 80,000 litre
Jumlah jualan sebelum harga turun 25,000 litre
Baki bekalan 55,000 litre
Jika harga TURUN sebanyak 10 sen 55,000 x 10 sen =(RM5,500) RUGI

>> JIKA HARGA NAIK
Bekalan masih ada 50,000 litre
Bekalan tambahan 20,000 litre
Jumlah bekalan 70,000 litre
Jumlah jualan sebelum harga naik 60,000 litre
Baki bekalan 10,000 litre
Jika harga NAIK sebanyak 10 sen 10,000 x 10 sen =Untung RM1,000

Jika perang harga dibenarkan, ia akan membunuh pengusaha stesen minyak kerana kadar komisyen per litre adalah tetap dalam kadar 8 sen sehingga 12 sen per litre (mengikut jenis minyak).

Harus diingat, kadar keuntungan ini adalah keuntungan kasar sebelum ditolak kos-kos overhead seperti gaji pekerja, elektrik, air, utility, penyelenggaraan dan lain-lain. Sedangkan kos modal yang dikeluarkan untuk membuka stesen minyak ini berjumlah Ratusan Ribu.

Benar, ada pendapat mengatakan bahawa pengusaha stesen minyak mendapat keuntungan daripada mini mart yang terdapat di stesen masing-masing. Tetapi harus diingat, mini mart hanya lah pendapatan sampingan yang mana bukan semua stesen mempunyai jualan yang memberangsangkan khususnya yang terletak di luar bandar.

Dengan keadaan sekarang di mana harga petrol saban naik, banyak pengusaha terpaksa gulung tikar dan mencari perniagaan yang lain kerana tidak lagi mampu menanggung kos pembelian bahan bakar yang makin meningkat dan tidak menentu.

Apabila perang harga dibenarkan, pasti bilangan pengusaha yang gulung tikar akan makin bertambah.

Cadangan daripada pemuda Amanah Kapar adalah kerajaan boleh mengadakan julat harga tertentu mengikut kadar semasa harga minyak dunia.

Secara tidak langsung, pengusaha stesen minyak dapat merancang aliran tunai mereka manakala pengguna akan dapat mengelak belian panik. Ini akan mengelak ‘Pesta Hujung Bulan’ yang sering berlaku di stesen – stesen minyak.

Cadangan julat harga adalah seperti berikut

Harga Minyak Dunia Cadangan Harga RON 92
USD 40 kebawah RM1.60
USD 40 – USD 70 RM1.90
USD 70– USD 100 RM2.10
USD 70 ke atas RM2.30

Cadangan harga ini boleh dipraktikkan kerana harga minyak dunia bergerak dalam keadaan yang stabil. Tidak turun dengan terlalu cepat dan naik dengan terlalu cepat. Malah kerajaan masih lagi dapat menjana keuntungan melalui cukai-cukai tertentu yang dikenakan.

Sesungguhnya hasil bumi seperti petrol dan diesel adalah amanah daripada Maha Pencipta. Pihak pemerintah tidak seharusnya memanipulasikan sistem harga ini hanya untuk menutup kedangkalan mereka dalam mengguruskan sumber alam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan”.

Sesungguhnya Pemuda AMANAH Kapar menentang cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan berkenaan penetapan harga siling bahan bakar ini yang mana mendatangkan lebih banyak kekalutan daripada manfaat kepada semua pihak.

>> Komentar bebas Setiausaha Pemuda AMANAH Kapar, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar I 6 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *