NU tidak setuju tindakan mahkamah halang Dr Zakir, pandangan perban dingan agamanya dianggap sihat dan ‘vitamin demokrasi’

KUALA LUMPUR: Kontroversi yang timbul di Malaysia ekoran kehadiran pendakwah India, Dr Zakir Naik dan rasa tidak puas hati beberapa pihak terhadap beliau adalah sesuatu yang biasa di Indonesia, kata seorang ulama tertinggi dari Nahdatul Ulama (NU), antara badan Islam paling berpengaruh di Indonesia.

Dr Syafiq Hasyim, Pengurus Besar NU, menyifatkan apa yang sedang berlaku itu “sihat dan vitamin untuk demokrasi”.

Oleh itu, Syafiq tidak setuju dengan tindakan mahkamah bagi menghalang Dr Zakir menyampaikan pandangannya mengenai perbandingan agama, lapor FMT.

Baginya, penyelesaian perlu dicari melalui jalan demokrasi seperti dialog dan menerima perbezaan pendapat.

Bagaimanapun, beliau setuju kebebasan agama atau bersuara tidak boleh dijadikan alasan menyuarakan “ucapan kebencian”.

Memetik pengalaman di Indonesia susulan kontroversi melibatkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, yang dituduh menghina Islam, Syafiq berkata, apa yang menjadi persoalan bukan topik perbincangan tetapi tuduh-menuduh terhadap mereka yang tidak sependapat.

Memberi contoh, Syafiq menceritakan bagaimana sebuah pertubuhan Islam di Indonesia yang berfahaman salafi mempunyai percanggahan pendapat dengan NU mengenai persoalan agama.

“Misalnya mengenai bid’ah, perbincangan soal itu tiada masalah. Tetapi… melabel pemimpin NU sebagai kafir. Itu sudah dikira ucapan kebencian,” katanya di forum “Islam, Jihad dan Demokrasi” anjuran Islamic Rennaisance Front (IRF) pada 5 Mac lalu.

Forum tersebut hangat seketika selepas aktivis dan Pengarah Filem, Norhayati Kaprawi membangkitkan isu kehadiran Dr Zakir.

Beberapa aktivis sosial yang turut melibatkan kumpulan hak Hindu, Hindraf, baru-baru ini memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa Putrajaya melindungi Dr Zakir di sebalik tuduhan pendakwah itu ada kaitan dengan pengganas.

Dr Zakir menafikan tuduhan itu. Sebaliknya, beliau dilaporkan enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa India yang menyiasatnya atas tuduhan pengubahan wang.

Norhayati mempersoalkan ketiadaan tokoh Islam yang bersama-sama dengan aktivis menentang Dr Zakir.

“Tentulah orang Hindu tersinggung. Seperti Muslim, semua orang menganggap agamanya benar. Bagaimana jika ada (penganut agama lain) menyatakan apa yang mereka rasa tidak betul dalam Islam?” katanya, yang kemudian dibalas seorang ahli panel dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle, yang mempertahankan Dr Zakir.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *