Penahanan bekas pimpinan mahasiswa, generasi mana lagi yang mahu dirosakkan Umno?

Rasa kesal menyelubungi diri apabila tular di media-media sosial bahawa salah seorang yang ditahan berhubung siasatan kes rasuah dan pecah amanah melibatkan tanah Johor merupakan bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di sebuah IPTA utara Malaysia yang kini merupakan kepimpinan Pemuda Umno Johor.

Penahanan ini wajar menimbulkan kekhuatiran seluruh generasi muda kerana pelaku yang ditahan tidak hanya merupakan generasi sebaya kita, tetapi juga merupakan bekas kepimpinan kampus yang pernah memimpin ribuan mahasiswa.

Ketika negara boleh berbangga dengan sekian ramai kepimpinan mahasiswa yang memimpin dengan cemerlang sektor-sektor kerajaan dan swasta, benih-benih pelik yang terpalit kerja-kerja kotor ini telah mencarik nama baik dan pandangan tinggi masyarakat terhadap dunia kemahasiswaan.

Tiba masa dan ketikanya seluruh pihak melahirkan rasa bimbang terhadap masa depan negara dan rupa bentuk bangsa Malaysia yang mahu diwariskan tanah bertuah ini. Tatkala kepimpinan muda sendiri sudah rosak dan terpesong daripada nilai-nilai murni urustadbir, generasi mana lagi mahu diharapkan untuk membawa negara ke landasan selamat?

Benarlah kata pepatah, “Busuknya ikan bermula daripada kepala”. Umno dengan segala kepincangan yang berlaku jelas – samada sedar atau tidak – telah merosakkan akal dan budi kepimpinan masa depan. Politik yang asalnya merupakan gelanggang perjuangan telah berubah menjadi lubuk bagi menumpuk kekayaan peribadi.

Buat kepimpinan mahasiswa yang berada di lapangan politik atau dunia pentadbiran awam, amanah bukan ‘harta ghanimah’ yang boleh dilahap semahunya. Setiap sen yang keluar akan dihitung sebagai amal atau azab di hari pembalasan. Pelihara amanah rakyat sebagaimana kita memelihara maruah keluarga sendiri.

>> Komentar bebas, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin I 2 Mac 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *