AMANAH Jelebu buat laporan polis kes kehilangan papan tanda Kg Orang Asli Air Jernih – Md Aji Abdul Razak

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan untuk hadir pada petang ini 24 Februari 2017 pada satu sidang media ringkas di hadapan Balai Polis Pertang, Jelebu.

Kita mengadakan sidang media ini untuk menyatakan kepada umum tentang kekesalan apabila kami dapati papan tanda Kg Orang Asli Air Jernih telah hilang di curi oleh individu2 yang tidak bertanggung jawab.

Papan tanda tersebut adalah sumbangan kami Parti AMANAH Kawasan Jelebu kepada penduduk Islam Kg Orang Asli Air Jernih. Papan tanda itu adalah sebagai menandakan wujudnya sebuah perkampungan orang Islam yang penduduknya terdiri dari orang asli di Pertang ini.

Papan tanda Kg Air Jernih telah kami (Parti Amanah Negara, Kawasan Jelebu) naikkan pada 14 Januari 2017 yang lepas.

Papan tanda itu adalah hasil usaha kami sebagai tanda selepas kami menengahkan isu-isu masyarakat orang asli Kg Air Jernih ini yang terpinggir daripada arus pembangunan walaupun kampung mereka ini tidaklah jauh dari Kg Geylang dan pekan Pertang itu sendiri.

Kami juga Parti AMANAH Kawasan Jelebu bersama-sama dengan Parti KeAdilan Rakyat Cabang Jelebu sedang berusaha menaikkan surau di Kg Air Jernih ini bagi kemudahan penduduk untuk bersolat dan beribadat.

Nampaknya terdapat individu-individu yang tidak berpuashati dengan usaha kecil kami ini untuk membantu penduduk Islam Kg Orang Asli Air Jernih.

Sepatutnya individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini bukan memangsakan papan tanda tersebut sebaliknya mereka patut berusaha membantu penduduk kampung.

Apa salah nya papan tanda yang berdiri tegak ditepi jalan tersebut?

Isu penduduk Kg Orang Asli ini diabaikan. Penduduk orang asli ini di pinggirkan, sebalik nya papan tanda itu pula yang mereka nampak membawa kemudaratan.

Bagi mereka ini, saya nasihatkan supaya jangan sombong dan bongkak serta lupa diri. Kita hidup di dunia ini mestilah saling tolong-menolong dan bantu-membantu, supaya hidup kita akan lebih harmoni.

Sememangnya wawasan Parti AMANAH adalah untuk mewujudkan satu negara bangsa yang harmoni dengan berbilang kaum dan suku bangsa.

Saya berharap supaya individu-individu yang telah mencuri papan tanda di Kg Orang Asli Air Jernih supaya memulangkannya semula kepada penduduk kampong.

Kita mahu menjadi orang yang maju dan bertamadun dan kita tidak boleh menganiaya atau meminggirkan mana-mana suku bangsa pun di Malaysia ini sekiranya kita mahu mencapai wawasan tersebut.

Bantulah penduduk Islam Orang Asli Kg Air Jernih ini dan bukan menganiaya atau mengenepikan mereka dari arus pembangunan.

Sekian. Terima kasih.

MD AJI BIN ABDUL RAZAK
Timbalan Ketua AMANAH
Kawasan Parlimen Jelebu
24 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *