Bebaskah seorang Ketua Audit Negara yang menjadi ahli Umno Cawangan Kg Melayu Kepong – Fahmi Fadzil

Minggu lalu, pelbagai pihak termasuk saya sendiri telah membangkitkan persoalan mengenai Tan Sri Dr Madinah Mohamad, Ketua Audit Negara yang baharu, khusus berkaitan kelayakan dan kehadiran beliau di dalam beberapa majlis anjuran Umno.

Oleh sebab Tan Sri Dr Madinah masih belum menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan ini terutama mengenai hubungan beliau dengan Umno, hari ini saya mengumumkan bahawa, berdasarkan maklumat yang telah saya terima, Tan Sri Dr Madinah Mohamad merupakan seorang ahli Umno bahagian Kepong, cawangan Kg Melayu Kepong. Saya turut difahamkan beliau telah menjadi seorang ahli Umno sejak 1989.

Saya menggesa Tan Sri Dr Madinah untuk segera menafikan maklumat ini.

Sekiranya benar, nasihat Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik Tan Sri Dr Madinah merupakan nasihat yang tidak membantu mengukuhkan institusi demokrasi di Malaysia.

Ini kerana jawatan Ketua Audit Negara merupakan antara jawatan terpenting dalam sistem demokrasi terutama proses semak dan imbangan pengurusan kerajaan.

Persepsi umum adalah seorang Ketua Audit Negara bukan sahaja perlu bebas, neutral dan tidak terlibat dalam politik kepartian tetapi juga perlu dilihat sebagai bebas, neutral dan tidak terlibat dalam politik kepartian.

FAHMI FADZIL
Pengarah Komunikasi KEADILAN
28 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *