Pas versi Hadi Awang lancar ‘deklarasi perang’ dengan Pakatan Harapan dan Bersatu

Sepanjang tempoh 48 jam lalu, kita diperlihatkan dengan satu lagi aspek perbezaan ketara antara Pas versi Nik Aziz, dan Pas versi Hadi Awang.

Suatu sandiwara penyebaran berita palsu dan fitnah telah berlangsung dalam penyampaian memorandum kononnya oleh akar umbi Pas kepada Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasarudin Hassan yang meminta Jawatankuasa Pusat Pas supaya memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang mempunyai pertalian dengan DAP dan AMANAH, diiringi beberapa poster menyerang pimpinan Pakatan Harapan dan Bersatu.

Antara sepanduk yang diusung mengecam pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu di hadapan Pejabat Agung Pas pada Sabtu, 25 Februari lalu.

Banner yang mahal dan berwarna-warni, menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu – termasuk satu yang memaparkan wajah saya dan menyerang saya sebagai ‘Musuh Melayu/Islam (Rasis)’ – dipamerkan di luar Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur bagi menyampaikan rasa tidak suka dan benci yang bersangatan terhadap pimpinan DAP, AMANAH dan Bersatu seperti Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan saya sendiri.

Ini adalah sesuatu yang tidak akan terjadi dalam Pas versi Nik Aziz, kerana tidak akan ada Ketua Penerangan Pas yang akan berani mengatur dan menjalankan aksi politik nakal sedemikian, kerana beliau pastinya akan mengundang kemarahan Nik Aziz.

Tetapi Nik Aziz sudah tiada, dan apa yang ada hari ini ialah Pas versi Hadi Awang. Nik Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau pengkhianatan politik, terutamanya oleh pemimpin Pas.

Jika DAP dan pemimpin DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, kenapa Pas menganggotai Pakatan Rakyat sepanjang 2008 ke 2013 dan mendapat sokongan majoriti undi popular pada Pilihanraya Umum ke-13, dan hampir menghalau UmnoBN keluar dari Putrajaya sekiranya sistem pilihanraya adalah benar-benar adil dan demokratik; daripada membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri minoriti pertama negara yang hanya memenangi 47% undi popular, tetapi memperolehi 60% kerusi Parlimen.

Kalau DAP dan pemimpin DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi mantan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013, di mana hari jadi Nik Aziz yang ke 82 turut disambut dengan kek ‘Pakatan Rakyat’?

Kenapa begitu banyak sekali perubahan terhadap Pas setelah kematian Nik Aziz pada Februari 2015?

Sekiranya Nik Aziz masih hidup, saya tidak fikir Pas akan teragak-agak untuk menyertai pergerakan patriotik parti-parti politik dan NGO untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah kleptokrasi global dan menuju nasib sebuah negara gagal.

Malah, sekiranya Nik Aziz masih hidup, Pas akan berada di barisan paling hadapan mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam skandal kleptokratik pengubahan wang berbilion dolar 1MDB, berbanding melihat Presiden Pas semakin selesa dengan Presiden Umno dan berpendirian bahawa tidak jadi soal kalau Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global, asalkan Perdana Menterinya beragama Islam.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan menerima memorandum sekumpulan orang yang mendakwa akar umbi Pas Selangor mendesak agar Pas memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Walaupun sandiwara 48 jam lalu didakwa berpunca dari akar umbi Pas Selangor yang menyerahkan memorandum kepada pimpinan Pas bagi memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH, tiada siapa yang akan terperanjat jika sebenarnya memorandum dan poster menyerang pimpinan DAP, AMANAH dan Bersatu itu adalah hasil karya agung Ketua Penerangan Pas sendiri.

Serangan terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu adalah suatu deklarasi perang oleh kepimpinan Pas terhadap DAP, Pakatan Harapan dan Bersatu.

Walaupun sandiwara serangan kepimpinan Pas terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu itu cuba dialas, kononnya berpunca dari akar umbi Pas Selangor, senario sebenar adalah sangat berbeza.

Hakikatnya, akar umbi Pas Selangor sudah sangat tidak berpuas hati dan bergolak ekoran pendirian garis keras Pas versi Hadi yang selesa bersama Umno pimpinan Najib, dan mempertahankan Najib dalam skandal pengubahan wang kleptokratik 1MDB.

Ini menjelaskan kenyataan Naib Presiden Pas, Iskandar Abdul Samad, sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pas minggu lalu bahawa kalau pun Jawatankuasa Pusat Pas dan Majlis Syura memutuskan untuk berpisah dengan PKR, Exco-exco Pas di Selangor, anggota GLC, ahli majlis dan ketua kampung tidak akan meletakkan jawatan sehinggalah keputusan dibuat dalam Muktamar Pas pada bulan April nanti.

Pas Selangor berkemungkinan tewas kesemua 15 kerusi Dun yang dimenanginya dalam PRU13 pada pilihanraya umum yang akan datang, memandangkan para pengundi Islam dan bukan-Islam kecewa dengan halatuju baru Pas pimpinan Hadi yang berbaik-baik dengan Najib dan memperkukuh kedudukannya sebagai Perdana Menteri walaupun wujud skandal kleptokrasi global 1MDB – suatu halatuju yang tidak akan diambil oleh Pas sekiranya Nik Aziz masih hidup.

Saya percaya Nik Aziz tidak akan mempunyai masalah menyokong kenyataan dan aspirasi saya bahawa rakyat Malaysia tidak boleh bersifat anti-Melayu, atau anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan atau anti-Iban atau anti mana-mana agama, lantas mengkhianati aspirasi Malaysia yang menyifatkan setiap warga Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, kelas, gender atau usia sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Tetapi Hadi sangat berbeza dan saya akan sangat terkejut sekiranya beliau mampu menyokong kenyataan dan aspirasi tersebut secara terbuka.

Dalam ucapan saya kepada Konvensyen Reformis Malaysia 2017 hujung minggu lalu, saya merujuk kepada tiga cabaran utama yang bukan sahaja ditujukan kepada warga Reformasi, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang patriotik dan mahu menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal dengan kleptokrasi global.

Tiga cabaran dalam dalam PRU14 yang bakal berlangsung pada suku kedua atau ketiga tahun ini adalah:

Pertama, mempertahan sokongan terhadap perubahan oleh pengundi Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak untuk DAP dan PKR dalam PRU13 lalu;

Kedua, mendapatkan sokongan 3.5 juta ahli dan pengundi Umno supaya menyokong Kempen Selamatkan Malaysia, dalam pertarungan antara ‘Demokrasi lawan Kleptokrasi’;

Ketiga, mendapatkan sokongan ahli dan pengundi Pas supaya menyokong Kempen Selamatkan Malaysia bagi memastikan kemenangan demokrasi dan kekalahan kleptokrasi dalam PRU14, serta memastikan semangat dan kenangan Nik Aziz kekal hidup.

Sekiranya kita boleh mencapai tiga tugasan ini dalam PRU ke-14, maka Malaysia akan dapat diselamatkan dan kita boleh menyambut sebuah Malaysia baru dengan penambahbaikan sistem dan institusi bagi memastikan Malaysia tidak akan lagi kembali menuju jalan kleptokrasi dan menjadi sebuah negara gagal.

>> Komentar bebas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang I 28 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *