Hasil siasatan Reuters, pengintip Korea Utara menyamar guna syarikat di Brickfields

Sebuah syarikat menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak Korea Utara. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Majlis Keselamatan PBB yang dilihat oleh Reuters, pejabat syarikat bernama Glocom itu terletak di tingkat 2 sebuah bangunan usang di Brickfields.

Reuters turut mendapati Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi “tentera dan separa tentera” menerusi laman webnya di Malaysia, glocom.com.my, yang kini tidak boleh dicapai.

Laman web itu menyenaraikan alamat di Brickfields itu dalam bahagian kenalan. Tiada orang yang membuka pintu dan peti surat di luar penuh dengan surat. Malah, tiada syarikat dengan nama itu yang wujud di Malaysia.

Tetapi, 2 syarikat Malaysia yang dikuasai pemegang saham dan pengarah Korea Utara mendaftarkan laman web Glocom pada 2009, menurut laman web dan dokumen pendaftaran syarikat itu.

Menurut draf laporan PBB, syarikat itu sebenarnya ada menjalankan urus niaga. Julai lalu, satu penghantaran udara terdiri daripada peralatan komunikasi tentera Korea Utara dari China ke Eritrea, dipintas di sebuah negara tidak dinamakan.

Peralatan yang dirampas itu termasuk 45 kotak radio dan aksesori medan perang yang dilabelkan “Glocom”, singkatan untuk Global Communications Co.

Glocom dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan Korea Utara ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata, menurut laporan itu yang memetik maklumat tidak didedahkan yang diperolehinya.

Seorang jurucakap misi Korea Utara di PBB memberitahu Reuters, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Glocom.

Resolusi PBB 1874 pada 2009, memperluaskan sekatan senjata terhadap Korea Utara dengan menyenaraikan peralatan ketenteraan dan semua “bahan berkaitan”.

Tetapi, menurut laporan PBB, pelaksanaan sekatan itu “masih tidak mencukupi dan sangat tidak konsisten” di kalangan negara anggota dan Korea Utara menggunakan “teknik mengelak yang semakin hebat dari segi skala, skop dan kecanggihan”.

Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang. Warganegara Korea Utara dan Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki 2 negara itu.

Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam – abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.

Pan Systems

Menurut pangkalan data “WHOIS” yang mendedahkan pemilik laman web, Glocom.com.my didaftar pada 2009 oleh sebuah entiti bernama International Global System menggunakan alamat di Brickfields. Sebuah syarikat dengan nama hampir sama, International Golden Services berada dalam senarai kenalan di laman web Glocom.

Glocom dikendalikan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang merupakan cawangan Pyongyang dikenali sebagai Pan Systems, menurut draf laporan PBB yang memetik invois dan maklumat lain diperolehinya.

Pengarah Urusan Pan Systems di Singapura, Louis Low berkata, syarikatnya mempunyai sebuah pejabat di Pyongyang pada 1996, tetapi mereka memutuskan hubungan dengan Korea Utara secara rasmi pada 2010 dan tidak lagi mempunyai kawalan terhadap sebarang urus niaga di sana.

“Mereka menggunakan (nama) Pan Systems dan mengatakan ia sebuah syarikat asing, tetapi mereka menguruskan segalanya sendiri,” kata Low merujuk warga Korea Utara di pejabat Pyongyang.

Pan Systems Pyongyang menggunakan akaun bank, syarikat pelindung dan ejen yang kebanyakannya berpangkalan di China dan Malaysia untuk membeli komponen serta menjual sistem radio lengkap, menurut laporan PBB itu.

Pan Systems Pyongyang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mereka. Seorang daripada pengarah Pan Systems Pyongyang ialah Ryang Su Nyo.

Menurut sumber yang mengetahui latar belakang wanita itu, Ryang melaporkan diri kepada “Pejabat Pengantara 519”, sebuah jabatan di Biro Umum Peninjauan.

Ryang turut disenaraikan sebagai pemegang saham International Global System, syarikat yang mendaftarkan laman web Glocom. Reuters tidak dapat menghubungi Ryang.

Seludup wang tunai

Ryang kerap ke Singapura dan Malaysia untuk menemui wakil Pan Systems, kata draf laporan PBB.

Dalam satu lawatan pada Februari 2014, beliau bersama 2 warga Korea Utara ditahan di Malaysia kerana cuba menyeludup AS$450,000 melalui kastam di klia2, kata 2 sumber yang dipetik Reuters.

Menurut sumber itu, 3 warga Korea Utara itu memberitahu pihak berkuasa Malaysia, mereka bekerja untuk Pan Systems dan wang tunai itu ialah milik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Peguam negara Malaysia memutuskan tidak mendakwa mereka kerana kekurangan bukti. Seminggu kemudian, mereka bertiga dibebaskan dan Kedutaan Korea Utara menuntut wang tunai itu. Ketiga-tiganya memiliki pasport yang dikeluarkan untuk pegawai kerajaan, kata sumber.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara tidak memberi maklum balas terhadap permintaan mendapatkan komen pada hujung minggu lalu.

Wakil Pan Systems di Kuala Lumpur ialah seorang warga Korea Utara bernama Kim Chang Hyok, menurut laporan PBB.

Kim yang juga dikenali sebagai James Kim, adalah pengarah pengasas perniagaan Golden International, syarikat yang disenaraikan dalam bahagian kenalan di laman web Glocom.

Kim adalah pengarah dan pemegang saham untuk 4 syarikat lain di Malaysia yang beroperasi dalam bidang IT dan perdagangan, menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Beliau tidak menjawab permintaan untuk komen melalui surat atau e-mel.

Panel PBB yang menyediakan draf laporan itu mempersoalkan Putrajaya jika mereka akan mengusir Kim dan membekukan aset International Golden Services dan International Global System bagi mematuhi sekatan PBB.

PBB tidak memberitahu bila permintaan itu dikemukakan.

“Panel belum terima jawapan,” kata laporan itu.

Reuters tidak menerima maklum balas dari kerajaan Malaysia untuk permintaan berulang bagi mendapatkan komen mengenai Glocom.

Hubungan politik

Seorang daripada rakan kongsi awal Glocom di Malaysia ialah Datuk Mustapha Ya’akub yang merupakan ahli Umno terkemuka. Sejak 2014, beliau disenaraikan sebagai Pengarah International Golden Services.

Sebagai Setiausaha Biro Hal Ehwal Antarabangsa Pemuda Umno (1984 sehingga 1996), Mustapha pernah menjalin hubungan politik dengan negara seperti Iran, Libya dan Korea Utara pada 1990-an. Alamat Glocom di Brickfields pernah menempatkan sebuah syarikat milik Pemuda Umno.

Mustapha, 67, berkata beliau pernah menjadi rakan kongsi perniagaan Glocom “beberapa tahun dahulu” dan syarikat itu dikawal secara berterusan oleh beberapa warga Korea Utara, termasuk Kim Chang Hyok yang beliau kenali.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan peranannya dalam syarikat itu dan menafikan mengetahui urus niaga semasa Glocom.

“Kami fikir pada masa itu, ia mungkin idea baik untuk menceburi perniagaan bersama,” Mustapha memberitahu Reuters mengenai pertemuan pertamanya dengan kenalan perniagaan Korea Utara itu.

Beliau tidak memberitahu siapa kenalan itu dan apa yang dibincangkan mereka. Glocom mengiklan dan mempamerkan barangnya tanpa mendedahkan hubungan Korea Utara mereka.

“Anywhere, Anytime in Battlefield,” demikian slogan tertera dalam sebuah katalog Glocom pada 2014 yang diperolehi Reuters.

Sebuah iklan dalam Asian Military Review edisi September 2012 menyatakan Glocom membangunkan radio dan peralatan untuk “organisasi tentera dan separa tentera”.

Jurucakap majalah itu mengesahkan iklan itu dibeli Glocom, tetapi berkata, majalah itu tidak tahu mengenai dakwaan syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan Korea Utara.

Glocom pernah menyertai pameran senjata 2 tahun sekali di Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) sekurang-kurangnya 3 kali sejak 2006, menurut laman web Glocom.

Pada DSA 2016, Glocom membayar RM2,000 untuk berkongsi meja di gerai Integrated Securities Corporation, kata pengarahnya, Hassan Masri kepada Reuters melalui e-mel.

Hassan menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peralatan Glocom dan tidak tahu dakwaan mengenai hubungannya dengan Korea Utara. Selain warga Korea Utara di sebalik Glocom, petunjuk di laman webnya turut menunjukkan asal usulnya di Korea Utara.

Contohnya, sekeping gambar tidak bertarikh menunjukkan seorang pekerja kilang menguji sistem radio Glocom.

Sebuah plak yang terletak berhampiran menunjukkan beliau memenangi satu anugerah unik Korea Utara “Anugerah Mesin Model No. 26” yang dinamakan sebagai penghormatan kepada bekas pemimpin Kim Jong Il, yang dikatakan cekap mengendalikan “Mesin larik No. 26” di Kilang Tekstil Pyongyang ketika beliau menjadi pelajar.

>> Komentar bebas Reuters ini telah diterjemah dan disiar oleh FMT pada 27 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *