Selamatkan Malaysia, rakyat wajib tentang kerajaan korup – DS Khairuddin Abu Hassan

Saya secara peribadi memang setuju dengan pandangan DYMM Sultan Johor bahawa sesiapa saja yang menjadi pemerintah baharu kita kena hormati serta patuh sepertimana pemerintah-pemerintah sebelum ini.

Tetapi kalau pemerintah baharu itu zalim, korup, salahguna kuasa, merosakkan institusi-institusi kerajaan serta tidak amanah dalam segenap segi; apa yang harus keseluruhan rakyat buat?

Apakah rakyat mesti taat secara membabi-buta pada pemerintah negara yang paling korup?

Adakah keseluruhan rakyat jelata mesti taat kepada Perdana Menteri yang terlalu korup yang bakal memusnahkan bangsa, agama mahupun tanahair yang tercinta ini?

Saya secara peribadi melawan kes skandal syarikat 1MDB tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak pun! Tetapi di beberapa negara yang telah saya buat laporan pada pihak berkuasa khususnya di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat mendapati secara sahih berlakunya unsur-unsur penyelewengan kewangan dalam syarikat 1MDB di mana akhirnya dilaporkan oleh media-media utama di negara-negara tersebut.

Semua yang terlibat dengan konspirasi kes skandal 1MDB telah ditangkap, didakwa serta dipenjarakan sepertimana yang berlaku di negara Singapura.

Jadi apakah kita harus tolak berita-berita sahih itu kerana semata-mata dilaporkan oleh media asing?

Beberapa media asing seperti The Wall Street Journal mencabar Najib Tun Razak untuk ambil tindakan undang-undang ke atas mereka tetapi sehingga hari ini Najib tak berani menyaman mereka.

Kenapa begitu? Berani kerana benar.

Kita semua perlu ingat bahawa tanpa mengira bangsa atau agama, fahaman ideologi politik serta dari parti-parti politik mana sekalipun; seandainya mereka berniat ikhlas untuk lawan kemungkaran di negara kita maka pada prinsipnya kita kena sokong untuk selamatkan Malaysia.

Pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli parti politik di negara ini adalah warganegara Malaysia yang sah! Mereka bukan orang luar yang tidak sah dari segi perlembagaan yang tidak membolehkan kita menyokong wadah perjuangan mulia itu.

Sesiapa saja rakyat malaysia yang ikhlas untuk lawan rasuah dan kemungkaran; kita semua wajib sokong.

Rakyat Malaysia tidak boleh menyokong pemerintah yang paling korup tanpa kira dari parti politik mana sekalipun mereka datang.

Hukum duniawi serta hukum agama menyuruh kita lawan korupsi serta salahguna kuasa! Ini adalah asas penghidupan manusia di dunia ini.

Ikhlas dari
DS KHAIRUDDIN ABU HASSAN
23 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *