Nik Abduh akui matlamat utama Pas bukan untuk jatuhkan Umno tetapi perkukuhkan ummah

KUALA LUMPUR: Matlamat utama Pas bukan untuk menjatuhkan Umno namun lebih kepada memperkukuh ummah, kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, pendekatan “budaya politik matang dan sejahtera” yang dibawa parti itu kini lebih mementingkan konsep pengukuhan ummah daripada segi perpaduan di kalangan umat Islam yang semakin lemah.

“Kita bukan bermatlamat utamanya bukan meruntuhkan Umno tapi matlamat utama kukuhkan ummah dan mereka tahu sendiri pemimpin mana yang nak pilih.

“Zaman sekarang orang sudah tidak bergantung kepada suara kerajaan. Mereka fikir sendiri untuk dapat maklumat daripada mana,” katanya ketika berucap dalam Seminar Pemikiran Tokoh Haron Din di ibu negara Sabtu lalu, seperti dipetik MalaysiaGazette.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengakui pendekatan Pas dalam mempamerkan “budaya politik matang dan sejahtera” yang menganjurkan amalan budaya politik matang berdasarkan fakta dan bukan berasaskan emosi memberikan kesan kepada parti itu.

Jelasnya, langkah Pas untuk mengamalkan politik bukan emosi mengakibatkan parti itu berpecah sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Budaya “budaya politik matang dan sejahtera” yang dipraktikkan Pas kini diperkenalkan semasa berlaku pergoncangan dalam Pas.

“Dalam membina strategi politik dan membina polisi yang mengakibatkan Pas bergoncang dan serpih sudah banyak kali, tapi yang kekal adalah istiqomah dan golongan inilah yang membina satu amalan politik yang matang sepertimana yang dikenali,” katanya lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *