Mohamad Sabu ingatkan PM jangan jadikan Malaysia tempat pertarungan kuasa-kuasa besar

KUALA LUMPUR: Maruah dan imej Malaysia didakwa menjunam di peringkat antarabangsa ekoran sikap tegas Kerajaan Korea Utara menolak sama sekali kewibawaan polis dan Kerajaan Malaysia menyiasat pembunuhan adik kepada Presiden Korea Utara baru-baru ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, mengingatkan Perdana Menteri agar tidak menjadikan Malaysia sebagai tempat pertarungan kuasa-kuasa besar, malah jangan sekali-kali mengulangi kesilapan yang berlaku di Afghanistan, Syria, Iraq serta Yaman yang boleh dilihat secara jelas pelbagai kumpulan ada proksi di belakang mereka.

“Ada kumpulan yang disokong oleh Perancis di Syria. Ada kumpulan yang di sokong oleh Britain, Amerika, Saudi, Qatar dan Turki. Ada kumpulan yang disokong oleh Iran, akhirnya berlaku pertarungan proksi di bumi Syria, dan di bumi Iraq yang menyebabkan rakyat bergelimpangan mati dan jutaan menjadi pelarian,” jelas beliau dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Mohamad Sabu berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan mutakhir ini, Najib Tun Razak dilihat sedang membawa Malaysia ke arah negara yang memihak kepada suatu negara atau kuasa besar.

Baru-baru ini PBB katanya, telah membuktikan Malaysia terlibat bersama dengan Amerika Syarikat, Arab Saudi dan sekutunya untuk menyerang sebuah negara arab yang miskin.

Terbaru pula, ujar beliau lagi, berlaku pula rondaan laut antara Tentera Malaysia dan China. Tindakan ini bakal mengundang Tentera Amerika Syarikat membuat rondaan yang sama di kawasan perairan Laut China Selatan.

“Malaysia sebuah negara yang terkenal dengan keamanan namun sekarang sedang berada dalam kancah pertarungan kuasa-kuasa besar untuk merebut perairan di kawasan ini.

“Najib bertanggungjawab terhadap keadaan yang berlaku ini.

“Rakyat Malaysia hendaklah bekerja keras untuk menolak rejim Barisan Nasional yang diketuai oleh Najib yang membawa negara ke arah yang tidak selesa pada masa yang akan datang,” tegas beliau.

Mohamad Sabu bekata, beliau telah beberapa kali mengingatkan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri supaya berusaha mengekalkan Malaysia sebagai juara dalam perjuangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Allahyarham Tun Abdul Razak berhempas pulas menjadikan ASEAN sebagai negara berkecuali dan beliau telah membentuk The Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN), katanya.

Kemudian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, tegas beliau, bersama rakan-rakan terutama dari India dan Afrika berusaha menjadikan NAM sebagai satu pertubuhan yang dihormati dan Malaysia di antara negara yang mempelopori perjuangan negara yang berkecuali.

“Nama Malaysia sentiasa harum terutama apabila selalu dijemput sebagai pendamai yang diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujar Mohamad Sabu yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Nilam Puri dan Kuala Kedah itu.

Tegasnya lagi, selain daripada isu ekonomi yang melanda negara, sekarang pula negara dilanda masalah keselamatan negara dan keselamatan awam.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *