Husam tenang, Nassuruddin garang tak bertempat sementara Unit Amal hilang kawalan

Terpekik melolong Datuk Nassuruddin Daud ketika berceramah isu baiah. Suaranya bertempik ketika membaca ayat suci Al-Quran sambil mencerca dan menghina. Tindak tanduk beliau memalukan rakyat negeri Kelantan yang terkenal dengan jolokan Universiti Politik Terbuka Malaysia.

Nasaruddin memperlihatkan kemarahannya dan emosi yang jelas tidak terkawal, sedangkan isu baiah ini satu isu perdebatan ilmiah yang memerlukan rasional dan pertimbangan yang tinggi.

Walau diasak kuat, Datuk Husam Musa tenang mendengar provokasi-provokasi ceramah tidak beretika yang menyerang peribadi Husam dengan menjaja pelbagai fakta yang salah.

Husam telah meminta sedikit masa untuk memperbetulkan beberapa tuduhan salah dalam ceramah tersebut, malangnya ruang demokrasi seakan-akan sudah mati di dalam Pas.

Saya sendiri telah memohon kepada pihak penganjur untuk membenarkan Husam berucap walaupun sekejap. Namun, pihak penganjur pula meminta kebenaran daripada Nasaruddin.

Malangnya, singa pada malam itu sudah hilang kejantanannya. Nasaruddin ‘TAKUT’ dan tidak memberi peluang untuk Husam berucap walau tajuk ceramah Pas itu jelas dan nyata mencabar Husam.

Nasaruddin menyerang Husam kononnya beliau takut untuk berdebat. Para penyokong yang ‘totok’ pula bertali arus terpekik terlolong memaki hamun, sebagai manifestasi akhlak pejuang Pas barangkali.

Nasaruddin bersama para penyokong yang ‘totok’ itu terus membuat provokasi. Namun, Husam tetap tenang dan tersenyum melihat telatah pihak yang konon mengaku sebagai membawa budaya politik matang dan sejahtera itu.

Secara tiba-tiba, seorang penonton menerpa ke depan pentas dan melaungkan supaya debat itu terus diadakan. Ini kerana Husam sudah pun berada di pentas.
Manakala, Nasaruddin bagaikan bertih jagung menuduh Husam takut untuk berdebat. Tindakan Nasaruddin ini tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang berselindung di sebalik bapanya dengan mencabar orang untuk ‘ggocoh’ namun takut untuk berdepan sebagai anak jantan.

Tindakan penonton tersebut menyebabkan beliau telah dipukul oleh seseorang yang dipercayai anggota Unit Amal. Bahkan, ketika unit pengiring daripada Pemuda AMANAH Kelantan tiba bagi mengiringi Husam, mereka menghalang kami menjaga keselamatan dan membuat rakaman secara langsung bagi pihak Husam.

Dengan bodohnya mereka meminta kami berundur 100 meter ke belakang dari pentas. Maknanya, kami tidak boleh berada di kawasan ceramah.

Apabila penonton itu telah dipukul, sekumpulan Unit Amal terus menyerbu dan menolak penonton tersebut, bahkan bergelut sesama sendiri. Kami bimbang akan keselamatan penonton tersebut dan membawa beliau keluar dari kepungan Unit Amal yang terus menerkam penonton tersebut.

Anggota Unit Amal dan samseng upahan telah menghalau kami. Saya sendiri dikepung sembilan orang anggota Unit Amal sambil mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan ada yang mencabar untuk bertumbuk.

Kami tidak berganjak sehinggalah keadaan menjadi tenang dan kami beredar setelah Husam selamat dibawa keluar dari pentas oleh unit pengiring Husam yang bertugas.

Untuk makluman, tidak ada seorang pun Pemuda AMANAH yang berbaju jingga. Ini kerana kehadiran kami bermaksud dengan niat yang tenang dan sekadar datang bagi mengiringi Husam apabila beliau mendapat jemputan daripada Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan untuk hadir ke program Pas itu.

Tuduhan yang kononya Husam hadir dan naik ke pentas untuk berdebat adalah satu tuduhan yang salah. Beliau hanya meminta sedikit ruang untuk bercakap sekiranya mendapat kebenaran.

Malangnya, permintaan Husam bagi membela dirinya yang dijadikan “punching bag” dalam ceramah tersebut ditolak mentah-mentah oleh Nasaruddin dan penganjur. Jelas terserlah sikap penakut dan bacul Pemuda Pas selaku penganjur dan Nasaruddin selaku pencabar untuk berdepan dengan Husam.

Pemuda AMANAH juga berharap Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bersikap jantan apabila menganjur sesuatu majlis. Selepas menganjur program yang jelas untuk menghina dan mengaib peribadi seseorang, kenapa perlu takut apabila kami menghadirkan diri.

Kenapa perlu mendapat restu kelulusan Nasaruddin kerana penganjurnya adalah Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

Kepada Nasaruddin, kamu tidak perlu bersikap seperti singa yang hilang taring, hanya pandai mengaum tetapi pengecut apabila diajak berdepan. Berdialog sinergilah secara dua hala, bukan terpekik terlolong berseorangan kemudian mendabik dada mengaku jantan.

Nah pihak lawan sudah tampil ke depan, kamu pula lari berselindung di sebalik rostrum dan mengarut itu dan ini.

Pemuda AMANAH Kelantan juga berharap pimpinan Pas negeri Kelantan masih kekal waras dan menunjukkan akhlak-akhlak Islam seperti mana acuan Allahyarham Tok Guru.

Mungkin kita bertempur dalam aktiviti politik namun, janganlah kita lupa bahawa kita seorang muslim yang berakhlak. Politik ini hanya kenderaan untuk menuju ke tempat yang sama. Kecuali jika Pas kini memang naik kenderaan sama yang dinaiki Umno.

>> Komentar bebas Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Nazmi Hassan I 25 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *