AMANAH Johor ucap takziah kepada keluarga remaja yang jadi mangsa rempuhan kereta – Aminolhuda Hassan

Lapan korban telah menjadi mangsa kemalangan akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran dalam bersebelahan Perkuburan Mahmodiah. Peristiwa yang berlaku sekitar jam 3:00 pagi tadi menyedarkan kita semua akan beberapa perkara.

Saya mewakili AMANAH Negeri Johor mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang ditimpa musibah ini. Saya mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa serta dinaungi, dicurahkan kasih sayang serta diampunkan ALLAH segala dosa mereka.

Setelah meneliti isu ini, saya mendapati apa yang berlaku pada anak muda seperti mereka merupakan salah satu tanda kekosongan jiwa mereka. Saya menasihatkan kawalan ibu bapa dalam kes seperti ini perlu diperbaiki agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Dalam masa yang sama, minat anak muda seperti mangsa ini telah tidak berjaya disalurkan dengan cara yang baik. Saya cadangkan agar diadakan tempat riadah untuk sukan yang mereka minati seperti trek lumba basikal, tempat lepak yang terkawal dan juga mengadakan penganjuran lumba basikal supaya bakat mereka lebih berkembang.

Oleh itu, apa yang berlaku pada peristiwa pagi tadi bolehlah diambil iktibar dan pengajaran supaya kita sama-sama berusaha memperbaiki keadaan agar tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang.

YB HJ AMINOLHUDA HJ HASSAN
Pengerusi AMANAH Johor
18 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *