Mohamad Sabu dakwa BN tidak selamat lagi di kerusi majoriti orang Melayu

KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan semua kerusi majoriti pengundi Melayu tidak lagi menjamin kemenangan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang setelah lahirnya parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, Bersatu yang dipengerusikan Tun Mahathir wujud ketika isu perkauman sempit dijaja untuk meracuni Melayu menjauhi DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan.

“Pertolongan datang tanpa kita tidak sangka. Di tengah-tengah isu Melayu dimainkan tiba-tiba lahir Parti Bersatu yang dipimpin pula oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

“Mahathir dulu terkenal sebagai ultra Melayu dengan bukunya seperti, ‘Malay Dilemma’. Pada 13 Mei (1969), orang inilah (Mahathir) dituduh menghasut Melayu.

“Sekarang Bersatu ini menghulurkan tangan bersama Pakatan Harapan yang ada DAP,” ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Ulu Tiram, Johor malam tadi dengan menganggap dakwaan kononnya masa depan orang Melayu dalam bahaya jika BN jatuh tidak lagi relevan, lapor Malaysia Dateline hari ini.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sambutan terhadap ceramah Tun Mahathir amat menggalakkan memandangkan kedudukan bekas Perdana Menteri itu yang berusaha menumbangkan kepimpinan Najib Razak.

“Ke mana Tun (Mahathir) pergi, sambutannya cukup hebat kerana dia dikenali sebagai pelampau Melayu tetapi sekarang dia nak menjatuhkan kerajaan Najib yang pemimpin Melayunya rasuah,” tegasnya.

“Kerusi-kerusi majoriti Melayu semuanya tidak selamat lagi pada BN kerana ada Amanah, PKR dicampur sekarang munculnya Bersatu. Orang tidak berani tuduh Tun Mahathir pengkhianat Melayu kerana mereka juga dulu mengatakan dialah penyelamat Melayu.

“Mereka (Umno-BN) tidak boleh kata Bersatu ini pengkhianat Melayu kerana Bersatu tetap bersama Melayu cuma nak ubah pemerintah mesti kena berkawan dengn semua orang,” tegas Mat Sabu lagi.

Turut hadir berucap ahli DAP yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan ahli Bersatu, Ainina Saadudin yang juga merupakan mantan anggota Wanita Umno Langkawi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *