Kaunselor Jerman, Angela Merkel akui Islam bukan punca keganasan, hanya satu salah faham

Kaunselor Jerman, Angela Merkel menegaskan, Islam bukan punca kepada keganasan yang berleluasa ketika ini manakala cendekiawan serta negara Islam perlu bersuara terhadap fundamentalis bagi menjelaskan isu tersebut kepada masyarakat dunia.

Ketika berucap dalam Persidangan Keselamatan Munich di sini 20 Februari lalu, Merkel menggariskan kepentingan kerjasama rapat antara negara-negara Islam bagi menghapuskan kumpulan militan Daesh, Boko Haram dan pengganas antarabangsa.

Merkel berkata, negara-negara Islam perlu memberi sumbangan kerana menerusinya, perkara itu dapat meyakinkan orang ramai bahawa Islam bukannya punca keganasan namun hanya satu salah faham.

“Saya menjangkakan pihak berkuasa Islam akan bangkit dan lebih tegas untuk menyatakan Islam sebagai sebuah agama keamanan dan sama sekali berbeza de­ngan keganasan yang dilakukan atas nama Islam.

“Kita sebagai orang bukan Islam tidak boleh melakukannya, sebaliknya perlu dilakukan pihak berkuasa dan ulama Islam,” tegas beliau.

Jelas Merkel, pihaknya telah membincangkan isu memerangi keganasan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Turki, Binali Yildrim.

“Saya baru sahaja membincangkan isu ini dengan Yildrim dan kami tahu terutamanya Turki sebagai negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menerima ancaman hebat bukan sahaja daripada militan Daesh, malah Parti Pekerja Kurdistan (PKK),” katanya.

Sementara itu, Merkel menjelaskan, negara Eropah tidak boleh mencapai kejayaan dalam perang memerangi keganasan tanpa so­kongan Amerika Syarikat (AS) dan bersedia meneruskan kerjasama dengan Rusia terutama usaha menumpaskan Daesh di Syria.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *