Menyingkap informasi ringkas selepas kira-kira 10 hari Jong Nam dibunuh di KLIA2

Kira-kira 10 hari selepas pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, gambaran lebih jelas mengenai pembunuhan ala perang dingin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) muncul.

Tetapi, khabar angin masih tersebar mengenai serangan ganjil itu dan polis Malaysia juga tidak mendedahkan butiran mengenai siasatan yang masih berterusan.

Berikut ialah apa yang kita ketahui – dan masih tidak tahu – tentang kematian Kim Jong Nam seperti yang dilapor Agensi Berita AFP pada 21 Februari lalu.

Apa yang berlaku?

Pada pagi Isnin minggu lalu, Jong Nam berada di terminal utama tambang murah untuk bersedia berlepas ke Macau. Beliau didatangi dua wanita, seorang menyerbunya dari belakang dan menyembur mukanya dengan sejenis cecair beracun, menurut polis dan pendedahan rakaman CCTV.

Menurut rakaman itu, Jong Nam kemudiannya mendekati petugas lapangan terbang, memberi isyarat ke mukanya untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Petugas itu kemudiannya membawa beliau ke klinik lapangan terbang, di mana gambar yang disiarkan media Malaysia menunjukkan beliau rebah di sebuah kerusi.

Jong Nam diserang sawan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Suspek pertama

Beberapa hari selepas serangan itu, polis mengumumkan penahanan seorang wanita Vietnam berusia 28 tahun bernama Doan Thi Huong, seorang lagi wanita Indonesia berusia 25 tahun dikenali sebagai Siti Aishah dan teman lelaki yang merupakan rakyat Malaysia.

Doan yang muncul dalam rakaman CCTV lapangan terbang dengan memakai baju tertera perkataan “LOL” – bekerja di sebuah “pusat hiburan” dan Aishah pula seorang tukang urut di sebuah spa, kata polis.

Aishah mendakwa dia ditipu untuk mengambil bahagian dalam sebuah program usikan TV, kata ketua polis di India yang memetik maklumat dari Malaysia.

Penduduk di kampung penanaman padi di Vietnam, tempat Doan membesar berkata, dia seorang yang bergaya, sering menukar warna rambutnya dan akan pulang bersama teman lelaki asing berlainan pada setiap sambutan tahun baru di negara itu.

Jejak Pyongyang

Polis kemudiannya menahan seorang lelaki Korea Utara berusia 46 tahun bernama Ri Jong Chol yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di bidang IT. Mereka sedang memburu 4 lagi lelaki Korea Utara yang memasuki Malaysia sejak 31 Januari hingga 7 Februari lalu dan semuanya melarikan diri pada hari kejadian.

Kumpulan suspek itu kembali ke Pyongyang melalui Indonesia, Dubai dan Vladivostok, kata pegawai imigresen dan sumber.

Seoul menggunakan perkembangan itu sebagai sebagai bukti mendakwa rejim Korea Utara dalang di sebalik serangan itu. Tetapi, Pyongyang menafikannya dan menuduh siasatan Malaysia bermotifkan politik.

Motif Pembunuhan

Jika Pyongyang adalah dalang di sebalik pembunuhan itu, beberapa sebab dijadikan faktor rejim mahu menyingkirkan Jong Nam.

Satu daripada teori itu menyatakan Jong Nam menjadi sasaran sejak beliau mengkritik sistem penggantian turun-temurun pada 2011 dengan berkata Korea Utara perlu melakukan pembaharuan dan liberalisasi seperti China.

Satu lagi teori berkata, Jong Un amat takut dengan peluang tipis abangnya mengancam kepimpinan beliau, selain menjadi alternatif liberal dalam keluarga Kim.

Penganalisis lain berkata, pembunuhan itu mungkin dirancang berdasarkan laporan Jong Nam bersiap sedia untuk berpaling tadah.

Satu cadangan yang tidak mengaitkan rejim Korea Utara dengan kematian Jong Nam ialah arahan membunuh itu dikeluarkan disebabkan dakwaan urusan perniagaan dijalankan secara tidak jujur di rantau ini.

Apa berlaku selepas ini?

Pihak berkuasa Malaysia bertegas ahli keluarga perlu tampil memberikan sampel DNA mereka sebelum mayat Jong Nam boleh diserahkan – sesuatu yang mereka kata belum berlaku.

Jika tiada waris tampil dalam tempoh 2 minggu, polis akan mempertimbangkan pilihan lain untuk menguruskan mayat Jong Nam.

Pasukan polis bersenjata mengiringi ketibaan sebuah konvoi tidak dikenali di hospital yang menyimpan mayat Jong Nam pada awal pagi Selasa, ketika laporan mengenai anak Jong Nam, Kim Han Sol sudah terbang ke Kuala Lumpur untuk menuntut mayat bapanya.

Menteri Kesihatan berkata, laporan toksikologi dijangka dikeluarkan 1 hingga 2 minggu selepas bedah siasat dijalankan, ia bermaksud mungkin lebih banyak maklumat mengenai jenis racun digunakan untuk membunuh Jong Nam boleh diketahui seawal Rabu ini.

Tetapi, tidak kira apa hasil siasatannya, kesan pembunuhan itu sudah merosakkan hubungan Korea Utara serta Malaysia dan mungkin menyebabkan Pyongyang lebih terpinggir di pentas dunia.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *