Husam gesa Pas Kelantan mohon maaf anjur ceramah mega guna nama beliau

KOTA BHARU: Dalam kenyataan ringkas Datuk Husam Musa sejurus selepas diminta meninggalkan pentas Ceramah Mega “Husam Lari Dari Bai’ah” di perkarangan Stadium Sultan Muhamad IX dekat sini malam tadi, 20 Februari, beliau menuntut agar Pas Kelantan membuat permohonan maaf kepada beliau kerana menggunakan namanya dalam ceramahnya malam tadi sehingga boleh membawa implikasi negatif.

“Saya cadang Pas Kelantan minta maaf dengan saya kerana guna nama saya.

“Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakub patut minta maaf kepada saya,” kata Husam seperti dilapor oleh Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Adun Salor itu juga, beliau telah menulis tiga pucuk surat kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas bagi memohon salinan minit mesyuarat majlis itu untuk menentukan apakah badan tertinggi dalam Pas itu meluluskan kalimat-kalimat dalam bai’ah Pas yang dibacakan oleh semua bakal calon Pas di Kelantan.

Menurut beliau, minit ini perlu untuk menyokong beliau dalam membuat persiapan debat beliau dengan Exco Agama Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nasruddin Daud mengenai Bai’ah.

Menurut Husam, jika beliau diberikan peluang berucap malam tadi, beliau akan terangkan isu bai’ah ini dengan baik agar kesemua pihak memahaminya.

Sehingga kini, kata beliau, Majlis Fatwa Negeri Perlis telah mengeluarkan fatwa mereka mengenai bai’ah ini.

Menurut beliau, fatwa ini bukan dikeluarkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagaimana didakwa tetapi dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis.

Antara anggotanya majlis ini ialah Datuk Dr Johari Mat, Naib Ketua Dewan Ulama Pas yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kelantan dan juga Timbalan Pesuruhajaya II Pas Kelantan.

“Saya akan mengedarkan fatwa ini tidak lama lagi,” kata Husam yang membayangkan fatwa ini menolak bahawa sesiapa yang melanggar bai’ah ini terus jatuh talak tiga kepada isterinya.

Husam juga mendakwa, beliau telah mendapat fatwa dari pelbagai pihak mengenai bai’ah ini termasuk Ikhwanul Muslimin Sudan, Majlis Fatwa negara Mesir dan lain-lain pihak lagi bagi membuat persiapan kepada debat antara beliau dengan Nasaruddin dan tidak bercadang untuk lari.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *