Hapuskan pandangan sempit terhadap kakitangan awam seolah-olah semuanya tidak produktif

Mengurangkan saiz perkhidmatan awam sememangnya bukan satu idea yang baik bagi kerajaan kerana Plihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka diadakan tidak lama lagi.

Malahan, ada penganalisis politik yang meramalkan PRU14 mungkin juga diadakan pada separuh akhir tahun ini. Sekiranya kerajaan bertindak mengurangkan saiz sektor perkhidmatan awam disebabkan tekanan sesetengah pihak, maka ia bakal menerima padahnya dalam pilihan raya tersebut.

Namun, dipercayai kerajaan tidak akan mengambil tindakan kurang bijak seperti itu. Sekurang-kurangnya tidaklah secara mengejut atau dalam masa terdekat. Mengapa sekarang?

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan tidak sepatutnya mengemukakan idea yang boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan kakitangan awam.

Meskipun idea beliau berbunyi realistik dan bertujuan mengelakkan pembaziran kerajaan ke atas penjawat awam dan pesara kerajaan, mengapakah cadangannya hanya ditujukan kepada kakitangan di peringkat bawahan?

Sebagai seorang bekas pegawai tinggi kerajaan, takkan beliau tidak faham peranan mereka yang besar dalam perkhidmatan awam?

Sebagai orang penting dalam merangka dasar negara ketika itu, beliau sepatutnya sudah lama mengemukakan idea untuk menjaga saiz sektor awam supaya ia tidak membesar tanpa kawalan.

Ini menunjukkan beliau bukan seorang pegawai tinggi kerajaan yang berpandangan jauh.

Sebagai bekas anggota pucuk pimpinan Kementerian Kewangan, beliau sepatutnya mencadangkan penambahbaikan terhadap produktiviti kakitangan awam, bukan memberi tekanan kepada pihak kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan mereka dengan kadar segera.

Salahkah kalau pengambilan untuk perkhidmatan awam dihadkan daripada memberhentikan mereka yang masih berkhidmat?

Selain itu, pengambilan penjawat awam secara kontrak juga boleh mencapai objektif – mengurangkan saiz sektor perkhidmatan awam.

Memerangi penjawat awam korup

Barangkali, bertindak tegas ke atas penjawat awam yang sering melanggar peraturan dan korup juga boleh membantu mengurangkan saiz perkhidmatan awam.

Sebagaimana kita sedia maklum, kakitangan awam yang mengamalkan rasuah sememangnya tidak produktif dan langsung tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Oleh itu, dasar kerajaan untuk memerangi rasuah dengan serius, membolehkan kakitangan kerajaan yang berasuah dikenal pasti dan seterusnya ditamatkan perkhidmatan sekiranya terbukti kesalahan mereka. Tindakan sebegini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan saiz perkhidmatan awam.

Saiz perkhidmatan awam negara lain juga besar

Seboleh-bolehnya janganlah kita cuba membandingkan saiz perkhidmatan awam negara asing dengan kita. Pun begitu, jika kita tengok nisbah penjawat awam kepada populasi di Jepun, iaitu 1:28 orang – memperlihatkan saiz perkhidmatan awamnya juga besar.

Namun, negara tersebut merupakan negara maju. Nisbah tersebut tidak jauh berbeza nisbah penjawat awam kepada populasi di Malaysia, iaitu 1:19.37 orang.

Penjawat awam penyumbang ekonomi negara

Yang penting, kita harus menghapuskan pandangan sempit kita terhadap kakitangan awam seolah-olah semuanya tidak produktif. Kita harus sedar mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara seperti orang lain.

Di samping itu, mereka juga berbelanja dan merupakan sebahagian besar daripada pasaran domestik negara. Malah, golongan ini juga mempunyai kuasa membeli yang besar dalam pasaran domestik serta menjadi antara faktor penting kekayaan sebilangan besar industri tempatan, termasuk industri pelancongan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga tidak terkecuali daripada pembayaran cukai pendapatan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pada pendapat saya, sektor perkhidmatan awam yang besar tidak membawa sebarang keburukan kepada negara dalam jangka masa panjang, sekiranya kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan saiznya secara berfasa serta bertindak tegas ke atas penjawat awam yang korup.

Matlamat ekonomi sedunia

Kita harus ingat matlamat ekonomi sedunia adalah membahagikan hasil ekonomi daripada sumber terhad sesebuah negara dengan seadil mungkin dalam kalangan rakyatnya. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan masalah sosioekonomi yang lain.

Namun, realiti yang menyedihkan dalam dunia sekarang adalah jurang teramat besar antara kaya dan miskin. Menurut kajian Bank Dunia baru-baru ini, jumlah harta dimiliki sebilangan kecil golongan terkaya di dunia sama dengan jumlah harta golongan miskin sedunia.

Kerajaan prihatin idaman rakyat

Sebagaimana kita sedia maklum, mutakhir ini, rakyat kita terpaksa berdepan pengangguran dalam bidang teknologi yang kian meningkat disebabkan penggantian tenaga manusia dengan jentera moden. Masalah ini ditambah pula dengan kebanjiran buruh asing.

Oleh itu, tidak wajar bagi kerajaan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam secara beramai-ramai dalam jangka masa terdekat disebabkan tekanan pihak tertentu.

Seeloknya, kerajaan mengekalkan saiz perkhidmatan sedia ada dan membuktikan keprihatinannya terhadap rakyat, tatkala ia sering dicabar kritikan jelik sesetengah pihak mengenai kelemahannya dalam menyumbang kepada rakyat dan integriti.

>> Komentar bebas pembaca FMT, Valter Vadivel I 20 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *