Mahfuz tak kisah dihalau daripada Pas, tetapi jangan terlajak halau Orang Asli dari Kelantan

Tidak saya sangka kenyataan saya berkaitan pendirian Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan parti AMANAH dan DAP mendapat perhatian Naib Presiden Pas, Yang Berhormat Datuk Nik Amar dengan kenyataan yang amat memalukan Pas.

Kenyataan Datuk Nik Amar yang menghalau saya keluar dari Pas amat mengejutkan kerana ia memperlihatkan watak ‘gedebe’ beliau.

Sewajarnya beliau dengan latar belakang seorang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam tidak membawa sifat ‘menghalau’ hanya kerana ahli PAS seperti saya mengambil tanggungjawab menegur parti dengan pandangan yang berbeza dari pimpinan dan pendirian parti.

Sepatutnya beliau membawa watak matang, sejahtera, damai dan bukannya menghalau. Tanamkan perasaan kasih sayang, ingat mengingati supaya perasaan kekeluargaan sentiasa tersemai dalam Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Saya ingin menasihati Nik Amar tetapi siapalah saya, saya cuma ahli biasa.Kepada semua pemimpin tertinggi fahamilah perasaan ‘anak-anak’ anda, bukan “sayang semasa berada, dan menyingkirkan ketika tiada”.

Jangan mengulagi apa yang dah berlaku. “Dulu halau ahli Pas (Kump 18), apabila mereka keluar lebelkan pula mereka sebagai pengkianat, selepas itu panggil balik masuk Pas”.

Kenyataan saya tidak mengecam Pas atau pimpinan Pas. Sebaliknya kenyataan saya itu adalah kerana saya sayangkan Pas dan sayangkan negeri Kelantan.

SELAMATKAN KELANTAN

Saya sangat bimbang dengan keengganan Pas bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar (grand coalition) boleh menyebabkan Pas kehilangan Kelantan.

Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor setelah Pas membuat keputusan untuk tidak kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Kalau Pas boleh kerjasama dengan Semangat 46 yang terlibat menjatuhkan Kerajaan Pas dan Berjasa parti serpihan Pas yang pernah kianati Pas pada tahun 1978 sehingga Pas di Kelantan tinggal ‘batu nisan’, kenapa hari ini Pas tidak boleh berkerjasama dengan AMANAH dan parti-parti lain.

Kenyataan saya harus dilihat oleh beliau sebagai mewakili suara ahli-ahli biasa yang tidak gembira dengan cara politik Pas sekarang. Ramai ahli,penyokong dan pengundi Pas yang tidak senang dengan pendekatan politik Pas yang dilihat menjarakkan Pas dari arus perdana politik tanahair dan rakyat terbanyak yang mahu meranapkan kerajaan ‘Kawaqtokrasi’ (Klaptokrasi) Umno dan BN pada PRU14 nanti.

JANGAN MATIKAN KRITIKAN

Adakah ahli yang menegur semua kena keluar Pas kerana menegur parti sendiri secara terbuka? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam Pas?.

Untuk Datuk Nik Amar dan lain-lain pimpinan (Pas),jangan membina persepsi rakyat terhadap Pas andai memerintah negara suatu hari nanti maka Pas tidak boleh ditegur dan dikritik.

Saya amat gembira jika Datuk Nik Amar dapat urus Kelantan dengan baik dan cemerlang.Uruslah Orang Asli,Pasar Pasir Puteh,banjir lumpur di Temangan, KPK dan lain dengan penuh kesungguhan demi kemakmuran rakyat Kelantan.

Harapan saya dan juga rakyat terhadap Datuk Nik Amar adalah jangan dihalau pula Orang Asli keluar dari Kelantan kerana masyarakat Orang Asli juga tidak setuju dengan beberapa tindakan Kerajaan Kelantan akhir-akhir ini.

Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. InsyaAllah saya akan terus bawa suara akar umbi Pas demi cinta serta sayang terhadap parti Pas.

Jangan pernah mengira kejayaan yang telah kita dapatkan bukan sekadar kekuatan Pas sendiri saja, kejayaan diperoleh Pas kerana sejak tahun 1990 parti-parti pembangkang di Malaysia mula merapatkan kerjasama menghadapi Barisan Nasional dalam pakatan-pakatan yang lebih padu (kohesif) dan meyakinkan.

Usaha Pas menunjukkan kesepakatan dalam pakatan besar pembangkang (Pakatan Rakyat) menghadapi Barisan Nasional, telah menyaksikan Pas, PKR dan DAP mendapat kejayaan besar dan muncul sebagai pakatan paling padu (kohesif) dalam sejarah terkini sejak Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif.

Sewajarnya pendekatan ini perlu diteruskan untuk menggarap semua kekuatan di dalam sebuah pakatan besar. Justeru untuk mengekal kemenangan serta membina satu gabungan pembangkang yang kuat, Pas perlu bersama dengan pelbagai parti-parti yang punya pelbagai sejarah, latar belakang dan asas perjuangan termasuk wadah-wadah baru seperti AMANAH dan PPBM supaya parti-parti ini termasuk Pas bersama di dalam satu pasukan besar pembangkang melawan untuk meranapkan Umno/Barisan Nasional pada PRU14.

>> Komentar bebas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar I 20 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *