Kim Jong-nam rayu jangan bunuh keluarga, lapor agensi perisikan

SEOUL: Abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang dibunuh di Malaysia, merayu dibiarkan hidup selepas cubaan bunuh pada 2012, kata wakil rakyat Korea Selatan selepas taklimat oleh ketua agensi perisikan hari ini.

Menurut Agensi Berita AFP, Kim Jong-nam mati selepas dilaporkan diserang dua wanita dipercayai ejen Korea Utara di lapangan terbang Kuala Lumpur kelmarin.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Kim Jong-il, dilihat sebagai pengganti, namun dipinggirkan selepas cubaan memasuki Jepun menggunakan pasport palsu pada 2001 kerana mahu melawat Disneyland.

Sejak itu beliau hidup dalam buangan, terutamanya di Wilayah Macau, China, manakala Jong-un mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Korea Utara cuba membunuh Jong-nam – seorang penyokong reformasi di Pyongyang – pada 2012, kata wakil rakyat Korea Selatan selepas diberi taklimat oleh Pengarah Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, Lee Byung-ho.

“Menurut Byung-ho… ada cubaan bunuh pada 2012, dan Jong-nam pada April 2012 mengutus surat kepada Jong-un meminta ‘jangan bunuh saya dan keluarga saya’,” kata Ahli Jawatankuasa Parlimen Mengenai Perisikan, Kim Byung-kee kepada pemberita.

“‘Kami tak tahu ke mana nak pergi…kami sedar satu-satunya cara ialah membunuh diri’,” katanya, menambah Jong-nam tidak mempunyai sokongan politik yang kuat di negaranya dan tidak mengancam kedudukan Jong-un.

Keluarga Jong-nam – isteri, bekas isteri dan 3 anak – sekarang ini tinggal di Beijing dan Macau, kata seorang lagi anggota jawatankuasa, Lee Cheol-woo.

“Mereka di bawah perlindungan pihak berkuasa China,” katanya, menambah Jong-nam memasuki Malaysia pada 6 Februari lepas, seminggu sebelum kematiannya.

Pembunuhan Jong-nam merupakan kematian berprofil paling tinggi di bawah rejim Kim Jong-un sejak hukuman mati bapa saudaranya, Jang Song Thaek, pada Disember 2013.

Song Thaek, yang rapat dengan China dan reformis ekonomi di Korea Utara, dituduh khianat.

Jong-nam, dipercayai mempunyai hubungan dengan golongan elit di Beijing, seorang yang lantang dan mengkritik sistem politik Pyongyang secara terbuka.

Lelaki 45 tahun itu berkata, beliau “membantah” penurunan kuasa dalam keluarganya, dalam temubual dengan media Jepun, Asahi TV pada 2010.

Seorang anaknya – Han-sol – juga menggambarkan bapa saudaranya, Jong-un, sebagai seorang “diktator” dalam temubual dengan media Finland semasa sedang belajar di Eropah pada 2012.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *