AMANAH Sabah bergegas ziarahi mangsa rumah atas air runtuh selepas usai tahlil

SANDAKAN: Pengerusi AMANAH Sabah, Hamzah Abdullah bersama Pemuda AMANAH Negeri turun padang menziarahi sebuah keluarga di Kampung Air, yang ditimpa musibah rumah runtuh malam baru-baru ini.

Hamzah menunjukkan rumah atas air yang runtuh.
Rombangan AMANAH makan tengahari bersama dengan keluarga rumah atas air yang runtuh sebelum berangkat pulang.

Semasa ziarah tersebut, Hamzah melihat keadaan rumah mereka dan bertanya lebih lanjut berhubung insiden yang menimpa.

Menurut Hamzah, rumah tersebut mula runtuh sekitar pukul 9.00 malam sejurus selesai bacaan tahlil yang diadakan oleh keluarga tersebut.

“Kami dimaklumkan bahawa, mereka sedang mengadakan majlis tahlil. Sejurus selesai bacaan tahlil, rumah tersebut mula runtuh tanpa sempat mereka menjamah hidangan yang telah tersedia.

“Kami di pihak AMANAH Sabah berasa simpati di atas apa yang telah berlaku. Kami tidak menunggu lama untuk menziarahi mereka. Trauma yang mereka hadapi perlu diubati dengan segera,” tegas beliau.

Turut hadir Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud yang datang daripada Kota Kinabalu pada hari sebelumnya, bagi mengadakan aktiviti-aktiviti lain di peringkat sayap Pemuda.

Khairuddin berkata, respon daripada JKKK Kg. Air adalah sangat mendukacitakan, tiada bantuan segera diberikan.

“Kami berasa kesal di atas apa yang berlaku. Ekoran insiden ini, seorang bayi hampir lemas, dan ada yang terkena kejutan elektrik, namun sehingga pukul 11.00 pagi hari kejadian, pihak JKKK masih bersikap lepas tangan,” katanya.

Ada bayi yang terpaksa bermalam kesejukan di luar rumah sehingga demam. Apabila penduduk meminta JKKK membuka dewan serbaguna yang ada, JKKK menyuruh mereka sendiri meminta kunci daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), ujar Khairuddin lagi.

Katanya, barang-barang mereka tenggelam di dalam air dan hanya beberapa dokumen penting sahaja dapat diselamatkan.

Rombongan AMANAH Sabah berkongsi juadah makan tengah hari bersama keluarga tersebut sebelum bersurai, dan tindakan susulan akan diambil dari semasa ke semasa bagi membantu mereka.

>> Laporan wartawan Hazar Berahim I 19 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *