Taktik Nasaruddin cuba gagalkan debat, fitnah Husam “mengelak” dedah Che Ibrahim

KOTA BHARU: Pengarah Penyelenggara Debat isu baiah antara Penasihat AMANAH Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Meranti, Datuk Nasaruddin Daud menyangkal dakwaan bahawa Husam cuba mengelak daripada berdebat.

Ustaz Che Ibrahim Mohamed dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman facebooknya mendedahkan kronologi penuh perbincangan-perbincangan yang diadakan antara kedua-dua pihak sejak bulan November 2016 hingga Januari lalu, lapor Malaysia Dateline.

“Husam dan Nasaruddin melalui wakil masing-masing telah empat kali mengadakan mesyuarat dan telah bersetuju melantik Sinar Harian sebagai penganjur dan menunggu pihak berkenaan menentukan tarikh dan lain-lain ketetapan.

“Saya pun terkejut mengapa pula tiba-tiba heboh dan nak dibuat ceramah kononnya Husam lari dari debat,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua pihak telah melantik wakil masing-masing untuk tujuan tersebut iaitu Husam melantik Mohd Mazlan Ab Rahman dan Wan Azimin Lawyer, manakala Nassuruddin melantik Nik Bahrum dan Nazman Che Iberahim.

“Selepas mesyuarat pertama pada 14 Disember atas inisiatif wakil-wakil Husam, mesyuarat-mesyuarat seterusnya ialah pada 27 Dis 2016, 10 Jan 2017 dan 18 Jan 2017.

“Wakil kedua-kedua pihak hadir dalam semua mesyuarat tersebut, manakala Nazman hanya hadir pada mesyuarat pada 27 Dis 2016 dan 18 Jan 2017, manakala mesyuarat pada 14 Dis 2016 dan 10 Jan 2017 Nazman tidak hadir.

“Kedua dua pihak telah memutuskan dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut iaitu bersetuju debat diteruskan, kedua-dua pihak dikehendaki mendapat persetujuan parti masing masing.

“Husam telah mendapat persetujuan bertulis daripada AMANAH melalui surat bertarikh 19 Nov 2016, manakala Nik Bahrum memaklumkan dalam mesyuarat pada 27 Dis 2016 bahawa Pas tidak ada halangan untuk membenarkan Nassuruddin berdebat dengan Husam, tetapi surat kebenaran bertulis tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, tajuk debat ialah “Sidang Dun Kelantan: Isu Bai’ah manakala tempat di dalam Stadium Sultan Muhammad ke IV, hari Sabtu malam Ahad dan diuruskan oleh pihak Nassuruddin.

“Tarikh akan ditetapkan kemudian dengan persetujuan kedua-dua belah pihak dan debat diadakan selama 50 minit dalam empat pusingan.

“Penganjur ialah Sinar Harian dan diurus oleh pihak Husam manakala moderator akan ditetapkan oleh penganjur dengan persetujuan kedua-dua pihak dengan PA System diurus oleh pihak Nassuruddin,” katanya.

Menurutnya dalam mesyuarat kali ke 4 pada 18 Jan 2107, wakil Nassuruddin memaklumkan debat akan diadakan pada 28 Jan 2017 dan pihak stadium telah bersetuju dengan tarikh tersebut.

“Pihak Husam memaklumkan penganjur memerlukan masa 30 hari daripada tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka membuat persiapan, lalu mencadangkan tarikh yang sesuai ialah 25 Feb 2017 kerana tarikh-tarikh lain (hari Sabtu malam Ahad) sudah tidak sesuai, iaitu 11 Feb 2017 Nassuruddin ke luar negara manakala 18 Feb 2017 Himpunan RUU 355 di Kuala Lumpur.

“Akhirnya mesyuarat ditangguhkan tanpa menetapkan tarikh debat dan tarikh mesyuarat yang berikutnya,” katanya lagi.

Sebagai Pengarah Penyelenggara Debat, Ustaz Che Ibrahim berkata, beliau melihat pihak Nasaruddin sebenarnya tidak serius dalam menyelenggara debat dan cuba menggagalkannya dan taktik menuduh Husam yang cuba lari adalah satu fitnah yang mereka mainkan.

“Kita serius untuk berdebat sebab itu kita atur persiapan dalam segala segi supaya ia menjadi kenyataan dan saya bersedia mendedahkan banyak lagi minit-minit perbincangan jika mereka terus jadikan perkara ini permainan politik murahan,” kata Ustaz Che Ibrahim pada dinding facebooknya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *