Maqasid Syariah dan memahami tindakan Syaidina Umar tangguhkan hukuman hudud

KUALA LUMPUR: Syaidina Umar Al-Khatab tidak melaksanakan hukum potong tangan pada tahun kebuluran, bukan disebabkan beliau menolak Tasyrik (pensyariatan) hukum yang termaktub dalam nas, tegas Pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi, Ustaz Wan Ji Wan Husein.

Lebih jahat lagi, katanya, jika mendakwa Syaidina Umar mendahulukan maslahah berbanding nas.

Sebaliknya, jelas beliau, di sana berfaktorkan Tanzil (perlaksanaan), iaitu ada nas menyatakan tidak boleh laksanakan hudud ketika wujudnya syubhat seperti yang kupas oleh Dr Said Ramadan al-Buti dalam Dhawabit al-Maslahah.

Ustaz Wan Ji berkata, tujuan perlaksanaan hukum potong tangan adalah untuk memberi kebaikan kepada manusia, namun, melaksanakan hukum potong tangan pada tahun kebuluran, akan menyebabkan tangan yang dipotong milik orang yang terpaksa mencuri kerana kelaparan.

“Ia sudah pasti satu kezaliman. Makanya, jelas bahawa ia bercanggah dengan tujuan (maqasid) bagi umum syariah. Ekoran itu, dihentikan perlaksanaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Amanahdaily.

Menurut beliau, sesuatu hukum yang diguna pakai, perlu dilihat pada dua kerangka, iaitu Qatie atau Zanni.

Hukum Qatie adalah sesuatu hukum yang diputuskan secara pasti, yang tidak akan berlaku sebarang khilafiyyah lagi manakala hukum Zanni pula adalah hukum yang masih berlaku perselisihan lagi dalam kalangan ulama, ujar beliau.

Sebagai contoh, kewajipan solat, kewajipan puasa, kewajipan zakat dan berbagai lagi adalah hukum yang Qatie. Justeru, sesiapa yang menyalahinya boleh terkeluar daripada Islam.

“Solat, hendak ditunaikan di masjid atau tidak, ia bukan perkara Qatie. Haji, hendak ditunaikan dengan menaiki kereta, kapal terbang atau apa cara sekalipun, ia bukan perkara Qatie.”

Ustaz Wan Ji berkata, dalam memahami Maqasid Syariah, hukum dilihat kepada dua sudut, iaitu Tasyrik dan Tanzil. Tasyrik bermaksud pensyariatan, sedangkan Tanzil adalah perlaksanaan.

Katanya, ibadah haji dari sudut Tasyrik adalah wajib. Namun, bagi orang yang tidak ada kemampuan untuk ke Mekah, dari sudut Tanzil tidak wajib bagi dirinya ke Mekah.

Begitu juga dengan ibadah puasa, dari sudut Tasyriknya adalah wajib. Namun, dari sudut Tanzil, kewajipan puasa digugurkan daripada orang yang ada penyakit dan dibebankan kepadanya Qadha’, ataupun bayar fidyah, ujar beliau.

“Ada perkara Tasyrik bersifat Qatie, seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Namun, di sana ada perkara Tasyrik dalam perbincangan Zanni lagi.

“Contohnya, hukum bunuh bagi kesalahan murtad, hukum rejam bagi kesalahan zina muhsan,” katanya.

Dari sudut tanzil, Ustaz Wan Ji berkata, neraca perlaksanaannya adalah memastikan tercapai kebaikan kepada manusia. Ini kerana, mustahil syariah diturunkan untuk manusia menjadi buruk.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *