MB Johor dibidas kerana perlekeh cadangan mewujudkan Biasiswa Bangsa Johor

JOHOR BAHARU: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khalid Nordin dibidas kerana memperlekehkan cadangan mewujudkan Biasiswa Bangsa Johor seperti disyorkan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub sebagai retorik pembangkang untuk menghadapi PRU14.

Bekas Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Zais Mohd Akil.

Bekas Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Zais Mohd Akil menyifatkan Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan demikian kerana tugas memikirkan soal pendidikan serta bantuan kepada rakyat adalah menjadi tanggungjawab sebuah parti politik kerana mereka harus memikirkan produk yang terbaik untuk rakyat.

“Pada pandangan saya soal bantuan kewangan kepada pelajar tak perlu dilihat sama ada ia datang daripada parti pembangkang atau pemerintah. Ini soal membantu anak-nak muda kita melanjutkan pelajaran dan ia mesti menjadi keutamaan.

“Kalau dia (Khalid) kata itu retorik parti pembangkang, ia jelas sekali bertentangan dengan dasar pendidikan dan seharusnya parti politik memberikan penekanan dari segi bantuan ini tanpa menggira siapa yang berkata.

“Haruslah perkara seperti ini tidak disalahertikan oleh MB Johor itu. Saya menyokong penuh cadangan Biasiswa Bangsa Johor ini,” tegas Zais lagi.

Beliau berkata, lebihan pendapatan negeri sepatutnya dijadikan dana bagi menampung atau menambah baik biasiswa kepada pelajar dan ia digunakan untuk membantu semula rakyat negeri Johor.

Kata Zais lagi, MB Johor yang sekarang ini tidak mampu mentadbir urus lebihan dana yang ada kepada kerajaan negeri kerana dipengaruhi oleh tangan-tangan luar yang seolah-olah mencampuri urusan beliau.

“Sepatutnya lebihan dana pendapatan negeri boleh dijadikan sebagai tampungan untuk membiayai biasiswa bagi pelajar yang memerlukan.

“Saya percaya Khalid tidak mampu menguruskan lebihan dana ini dengan baik kerana ada pengaruh-pengaruh dari luar, saya tak mahu sebut nama mereka tapi saya tahu,” ujar beliau.

>> Laporan wartawan Amni Jagat I 9 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *