Husam pelawa MB tangani banjir lumpur dan dialog dengan penduduk Kg Bukit Besi

MACHANG: Menteri Besar Datuk, Datuk Ahmad Yakob disaran mengadakan satu pertemuan khas dengan wakil penduduk Kg Bukit Besi, Temangan, Machang yang kini menghadapi banjir lumpur akibat aktiviti perlombongan berhampiran kampung mereka.

Husam melawat kg Bukit Besi di Temangan Machang yang ditelenggami lumpur.

Penasihat AMANAH Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, penduduk kampung masih tertanya-tanya bila masalah mereka akan diselesaikan oleh kerajaan kerana telah menderita sejak tahun 2014.

“Saya berharap pihak Datuk (MB) dapat memberikan satu tarikh kepada saya bersama wakil penduduk Kg Bukit Besi Temangan bagi mengadakan perjumpaan tersebut,” katanya dalam satu surat khas yang ditujukan kepada Menteri Besar atas nama Adun Salor.

Menurutnya, isu banjir lumpur yang dialami oleh penduduk Kg Bukit Besi Temangan, Machang, telah membawa pelbagai kesan penderitaan yang dialami oleh penduduk yang memerlukan tindakan segera pihak kerajaan negeri.

“Sebanyak 24 buah rumah telah terkesan teruk akibat banjir lumpur. Daripada jumlah tersebut 7 buah rumah hampir tenggelam dengan lumpur atau tanah,” katanya.

Menurutnya lagi, sebahagian daripada mangsa terpaksa menumpang dengan keluarga dalam rumah transit banjir yang sempit dan tidak selamat untuk didiami.

“Manakala sebahagian lagi terpaksa berpindah ke rumah sewa dan ini menambahkan lagi beban kos hidup mereka,” katanya.

Satu lagi masalah yang dihadapi penduduk, jelas Husam adalah bekalan air bersih di mana mereka terpaksa bergantung kepada lopak takungan air di atas bukit.

“Saya dimaklumkan bahawa setiap kali hujan turun, air hujan yang membawa bersama pasir dan selut dan sisa buangan akan mengalir melalui rumah penduduk.

“Aliran dengan arus yang deras kerana jalan di hadapan rumah mereka telah bertukar menjadi laluan air akibat sungai tertimbus.

“Selain itu, saya juga difahamkan kebun getah dan dusun buah-buahan penduduk kampung berhampiran dengan lombong juga telah musnah,” katanya.

Husam yang melawat sendiri kawasan berkenaan semalam berkata, beliau dan wakil penduduk akan berbincang berkenaan tindakan-tindakan susulan bagi mendapat keadilan.

>> Laporan wartawan Khaulah Muhammad untuk Malaysia Dateline I 9 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *