Salahuddin ingatkan BN jangan jadikan isu Pedra Branca untuk dapatkan undi PRU14

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak menjadikan isu tuntutan Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) hanya sebagai propaganda politik bagi mendapatkan sokongan pada PRU14.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub menegaskan, Kerajaan BN kali ini perlu lebih serius dan bersedia untuk menuntut semula pulau itu susulan penemuan fakta baharu berhubung isu itu.

Katanya, ia supaya apa yang dilakukan pada tuntutan sebelum ini tidak berulang sehingga terlepasnya pulau itu kepada Kerajaan Singapura.

Beliau mengingatkan perkara ini dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Pada 2 Februari, Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pedra Branca selepas mahkamah itu memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atasnya pada 2008.

Fakta baharu itu ialah tiga dokumen yang ditemui di National Archives of the United Kingdom termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Ia dilaporkan ditemui di arkib itu antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.
Salahudin berkata kerajaan perlu menyediakan barisan pakar, terutama dalam bidang sejarah, bagi permohonan kali ini.

“Keputusan ICJ tidak hanya bergantung kepada undang-undang, tetapi pembuktian dokumen sejarah juga penting,” katanya sambil menambah Amanah bersedia membantu kerajaan sepanjang proses itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *