Mahu siasatan tegas diambil dibawah Akta Jenayah, kesal kecuaian polis menyebabkan kematian S. Bala Murugan

Keingkaran dan keengganan pihak polis memberi bantuan perubatan telah mengakibatkan seorang lagi tahanan meninggal dunia dalam tahanan polis. Seorang individu bernama S. Bala Murugan, 44 tahun dari Taman Eng Ann, Parlimen Kapar telah meninggal dunia semasa berada di bawah tahanan pihak polis.

Menurut sumber, mendiang S. Bala Murugan telah ditahan oleh pihak polis dari IPD Klang Utara pada hari Isnin, 6 Februari 2017. Mendiang dikatakan ketika ditahan bersama dengan dua individu lain, di mana salah seorang adalah suspek yang dikehendaki oleh pihak polis.

Mendiang telah di bawa ke Mahkamah pada hari Selasa untuk direman. Ketika di mahkamah, setelah melihat keadaan fizikal mendiang, Majistret telah memutuskan bahawa Pengawai Penyiasat (IO) untuk membebaskan atau merujuk mendiang ke hospital.

Saya mendapati bahawa Pengawai Penyiasat yang mengendali kes ini tidak melakukan seperti yang diputuskan oleh Tuan Majistret. Pengawai Penyiasat telah mengingkari keputusan mahkamah apabila gagal membebaskan atau merujuk mendiang ke hospital.

Saya bertanggapan bahawa, sekiranya mendiang dibebaskan, keluarga mendiang mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Tambahan kepada itu, sekiranya pihak polis sendiri merujuk mendiang ke hospital seperti yang disarankan oleh mahkamah, nyawa mendiang mampu diselamatkan.

Namun begitu, keingkaran dan keengganan Pegawai Penyiasat dan pihak polis bertindak seperti yang diputuskan oleh mahkamah telah mengakibatkan keluarga mendiang kehilangan nyawa S. Bala Murugan.

Saya, sebagai Ahli Parlimen Kapar menuntut:

1. Kes tersebut disiasat di bawah Akta-Akta Jenayah yang sedia ada melalui satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

2. Disebabkan terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kekerasan yang tidak munasabah telah digunakan oleh pihak polis semasa penahanan mendiang, maka semua anggota polis yang terlibat dalam operasi penahanan mendiang pada hari tersebut digantung kerja secara serta merta sehingga kes ini disiasat.

3. Disebabkan terdapat bukti-bukti yang menunjukkan keingkaran dan keengganan Pegawai Penyiasat mengikut keputusan mahkamah, maka Tuan Omar, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan Tuan Insp Mohd Noor Husri, Pegawai Penyiasat digantung kerja secara serta merta sehingga kes ini disiasat.

4. Pihak polis wajib menyiasat kes ini tanpa menyembunyi apa-apa bukti atau melindungi mana-mana pihak. Keutamaan wajar diberikan kepada permintaan dan cadangan yang dikemukakan oleh keluarga mendiang. Sekiranya terdapat tindakan pihak polis, melanggar atau mengendahkan permintaan keluarga mendiang, ianya hanya akan menambahkan keperitan dan kesengsaraan keluarga tersebut.

5. Kementerian Dalam Negeri / Kerajaan Persekutuan perlu sedar bahawa kes sebegini menguris imej dan mencemarkan integriti pihak polis. Maka, untuk memastikan kes ini disiasat secara telus dan terbuka, Kerajaan Persekutuan wajar menubuhkan sebuah badan penyiasat bebas untuk menyiasat kes ini disamping siasatan pihak polis.

Kita telah kehilangan satu nyawa yang sepatutnya boleh diselamatkan sekiranya pihak polis melaksanakan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Saya memandang kes ini secara serius dan menyarankan supaya semua tuntutan saya dilaksanakan dengan serta merta.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, S. Bala Murugan.

My deepest condolences. May your soul rest in peace.

>> Komentar bebas Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin I 9 Februari

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *