Husam dakwa duit RM90 juta untuk Pas daripada Umno disalur melalui Affin Bank

KOTA BHARU: Penasihat AMANAH Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa, duit yang diterima Pas daripada Umno sebanyak RM90 juta sebagaimana didedahkan Sarawak Report disalurkan melalui sebuah bank tempatan iaitu Affin Bank.

“Adik kakak nak tau bank mana yang diguna. Ambe (saya) teka malam ni, tetapi hok ambe teka sekalanya, betul 99 peratus lah kerana hok ambe teka tu hok ambe tau.

“Betul ke dok, duit-duit ini melalui Affin Bank,” kata Husam dalam satu video klip ceramahnya yang kini ditularkan melalui media sosial.

Sehubungan dengan itu, katanya, pihaknya akan mendedahkan lagi perkara ini menjelang PRU14 akan datang.

“Jadi masa pilihan raya esok-esok kita buat tubiklah (keluarkan), kalau dia dengan Umno. Kalau dia tidak dengan Umno, Umno buat tubik,” kata Husam dalam satu klip video ceramahnya di Kelantan.

Dalam klip video 1.24 minit itu, Husam turut mendakwa, kalau tidak ada apa-apa masalah Pas akan bekerjasama sepenuhnya dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

“Untuk maklumat ahli bawahan Pas, kalau tiada aral melintang Pas akan bersatu dengan Umno. Nama dengan pelbagai-bagai, taawun ke, taaa apa ke, tidak usah kira,” kata beliau dalam video itu.

Sebelum ini, Sarawak Report, sebuah laman web yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia mendakwa Pas menerima RM90 juta duit dari Umno. Ekoran itu, Pas mengugut akan menyaman laman yang berpusat di London itu.

Namun, sehingga kini hanya notis awal dikemukakan oleh parti itu tetapi belum memfailkan sebarang saman lagi terhadap laman itu.

Pada 8 Ogos 2016 lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, Sarawak Report berbohong kononnya pimpinan tertinggi Pas menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Nampaknya agenda untuk terus-menerus mengaitkan Pas dengan Umno terus berlaku,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada media.

“Apapun, Pas akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan tersebut yang mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangan Pas,” kata orang nombor dua Pas itu lagi.

>> Laporan wartawan Borhan Ahmad untuk Malaysia Dateline I 9 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *