Penganalisis ramal idea perluaskan Wilayah Persekutuan jika diteruskan akan ‘makan diri’ BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan sebahagian Melaka dijadikan sebahagian Wilayah Persekutuan, kata penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi.

Awang merujuk kepada keadaan yang berlaku di Sabah apabila Labuan dijadikan sebahagian Wilayah Persekutuan pada 1984.

“Masyarakat gempar apabila Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Akibatnya, kerajaan BN yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Harris Salleh pada ketika itu kalah mengejut dalam pilihan raya negeri 1985, lapor portal FMT.

“Menukar sesuatu kawasan menjadi Wilayah Persekutuan bukan kerja senang. Harris tewas pilihan raya walaupun popular dalam kalangan rakyat.

Beliau mengulas hasrat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan sebahagian Melaka sebahagian Wilayah Persekutuan.

Adnan melahirkan hasrat itu ketika ditemubual radio BFM pada 1 Februari lepas, bersempena Hari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, seorang saintis politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal Syam Hazis menepis idea itu sebagai angan-angan sahaja.

“Ini salah satu daripada kebanyakan idea beliau yang tidak praktikal. Kenyataan beliau sebelum ini mengenai pengharaman ‘kapcai’ (motosikal berkuasa rendah) daripada memasuki KL juga memakan diri.”

Faisal berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya kerajaan pimpinan BN dalam kedudukan yang kukuh.

“Tetapi pada masa ini, kita mempunyai kerajaan persekutuan yang lemah dan banyak isu lain di serata negara. Oleh itu lebih baik cadangan ini tidak diteruskan.”

Sekarang ini terdapat 3 Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kuala Lumpur dan Putrajaya bekas wilayah Selangor manakala Labuan bekas wilayah Sabah.

Kuala Lumpur, dahulunya ibu negeri Selangor, dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974, diikuti Labuan pada 1984 dan kemudian mengambil peranan pusat kewangan luar pesisir, manakala Putrajaya dijadikan pada 2001 dan mengambil peranan sebagai pusat pentadbiran negara.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *