Pas tidak hairan, Zaid Ibrahim akan lebih agresif serang parti itu setelah dengan DAP

KUALA LUMPUR: Pas menjangkakan Datuk Zaid Ibrahim akan menyerangnya dengan lebih agresif, selepas bekas menteri undang-undang itu menyertai DAP semalam malah Zaid selalu menyerang Pas sejak daripada Umno dan semasa dalam PKR serta Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) juga beliau serang Pas.

“Masa tidak ada parti juga dia serang Pas. Ini masuk DAP akan lebih banyak menyerang Pas,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Zaid pada sidang media pagi semalam membidas seteru parti baharunya itu sebagai “penunggang agama”.

Bekas menteri itu berkata, Pas tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah rakyat, termasuklah perkara kecil seperti banjir kilat dan permasalahan sampah.

Zaid kemudian menyeru orang Melayu kembali mendakap nilai asal daripada mendengar golongan penjaja agama.

Khairuddin bagaimanapun menepis tuduhan Zaid dengan berkata, penyertaan bekas menteri itu tidak akan membantu pakatan pembangkang DAP, PKR dan AMANAH bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Saya tidak pelik kalau Zaid masuk DAP. Dia seorang ahli politik yang sentiasa berubah angin.

“Zaid tidak memainkan peranan besar dalam pakatan pembangkang dan tidak akan memberi kesan apa-apa kepada pembangkang,” katanya.

Pertelagahan antara Pas dan DAP antaranya kerana isu pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Beberapa hari sebelum penyertaan Zaid, Pas melancarkan kritikan terhadap kerajaan Pulau Pinang, menuduh pentadbiran DAP-PKR mengabaikan orang Islam, menyebarkan liberalisme serta mencampuri urusan fatwa dan kontrak mufti, yang dinafikan oleh kedua parti.

Kritikan dilancarkan lebih kurang tiga minggu selepas PKR menghantar pemikirnya, Datuk Saifuddin Nasution ke Pulau Pinang untuk menguatkan kedudukan Pakatan Harapan dalam kalangan orang Islam di sana.

Menghadapi PRU14, Pakatan Harapan bersama PPBM cuba mewujudkan kerjasama baharu dengan parti pembangkang lain bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.

Pas dilaporkan menolak kerjasama dengan DAP dan AMANAH, tetapi bersetuju dengan strategi 1 lawan 1 di Selangor.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *