Pembangkang tidak berpecah, yang enggan bersatu Pas bukan Pakatan Harapan – Khalid Samad

Saya selalu dengar dakwaan bahawa “pembangkang berpecah”. Saya tak berapa setuju dengan dakwaan tersebut. Sebenarnya pembangkang, kesemuanya telah bersatu.

Dan, Pakatan Harapan, adalah sebagai nuclei atau pusat penyatuan itu. Hanya masalahnya, Pas tak bersama Pakatan Harapan. Akan tetapi ketidakbersamaan Pas dengan Pakatan Harapan tidak bererti pembangkang tidak bersatu.

Yang tidak bersatu adalah Pas, bukan pembangkang. Pembangkang, sepertimana yang saya katakan tadi, telah bersatu.

Maka persoalannya adalah kenapa Pas tidak mahu bersatu dengan pembangkang? Adakah Pas bukan pembangkang? Atau tidak bersetuju dengan apa yang diperjuangkan pembangkang kesemuanya?

Sebelum dijawab soalan itu, perlu kita selaraskan maksud istilah ‘pembangkang’. Pembangkang adalah pihak yang berlawanan dengan parti pemerintah dan berusaha untuk menjatuhkannya supaya sebuah kerajaan baharu dapat ditegakkan.

Berdasarkan takrif seperti di atas, adakah Pas pembangkang? Hakikatnya kedudukan Pas adalah agak samar. Ianya samar kerana buat masa ini Pas tak tentu apa yang dikehendakinya.

Adakah lebih baik BN, yang didominasi Melayu Islam atau Pakatan Harapan, yang bagi Pas, didominasi bukan Melayu dan bukan Islam? Atas sebab masih belum membuat keputusan yang jelas, maka Pas, sewajarnya, duduk di tengah-tengah.

Sikap tengah-tengah itu jelas disebut apabila Pas secara terang-terangan menyatakan Pas akan menjadi ‘King Maker’ selepas PRU14. Pas akan memilih samada bersama BN atau Pakatan Harapan hanya selepas PRU ke 14.

Oleh itu, sehingga Pas membuat keputusannya, kedudukan Pas sebagai pembangkang tidak dapat disahkan. Dan oleh itu, maka pembangkang telah bersatu.

Kalaulah AMANAH tidak ada, adakah pembangkang bersatu?

Dalam keadaan Pas sendiri tidak bersama Pakatan Harapan, ada juga pimpinan Pas yang dakwa AMANAH sebenarnya punca perpecahan pembangkang!

Kami bersama Pakatan Harapan, Pas tidak bersama Pakatan Harapan tetapi AMANAH yang dituduh Pas sebagi punca perpecahan. Saya agak pelik. Tidakkah yang tidak bersama itu yang menyebabkan perpecahan?

Tetapi bagi yang agak ‘slow’, biarlah saya layan sebentar kata-kata pimpinan Pas berkenaan. Dia mendakwa kalau AMANAH tidak ada, maka pembangkang akan bersatu.

Saya rasa dia konfius. Mungkin dia maksudkan tiada pertindihan kerusi tetapi itu pun tak ada jaminan. Bukankah Pas dakwa kerusi-kerusi PKR adalah milik Pas dan hanya dipinjamkan kepada PKR? Tidakkah Pas kata ia akan bertanding di kerusi DAP bertanding?

Tetapi, tidak mengapalah. Biar saya jawab isu ini dengan dilakarkan dua senario.

Senario pertama adalah AMANAH tidak ada. Maka adakah Pas, Keadilan, Bersatu dan DAP akan bersatu?

Pas tidak boleh terima Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Datuk Seri Wan Azizah (DSWA). Kononnya mereka tidak boleh dipercayai. Pas hanya boleh terima Hadi Awang sahaja.

Dulu semasa AMANAH belum lagi ditubuhkan dah berkali-kali ada usul untuk kaji balik hubungan dengan Keadilan.

Dengan BERSATU pun Pas tak boleh bersama Tun Mahatahir. Macam-macam syarat yang dikenakan terhadap BERSATU. Dan sudah pasti, tiada ‘kerusi Pas’ yang akan diserah pada BERSATU.

Dengan DAP apa lagi? Pas siap istihar DAP sebagai musuh Islam dan sebagainya.

Maka tanpa adanya AMANAH sekalipun, Pas tetap tidak akan bersatu dengan Keadilan, BERSATU dan DAP. Dan ini adalah jelas daripada sejak sebelum AMANAH ditubuhkan lagi.

Malahan, tidak salah kalau dikatakan ianya antara sebab pimpinan Pas yang digelar Erdogan dan Anwarinas dijatuhkan dan AMANAH kemudiannya ditubuhkan.

Mari kita lihat pada senario kedua pula. Katakan buat seketika, Pas tidak ada. Bila terfikir keadaan di mana Pas tidak ada, tiba-tiba saya terasa aman, damai. Pembangkang bersatu tanpa masalah.

Kajian INVOKE

Kajian terbaharu INVOKE menunjukkan bahawa sekiranya diadakan pertandingan tiga penjuru maka pola pengundian masyarakat Melayu adalah 41% mengundi Umno/BN, 21% mengundi Pas dan 24% mengundi calon Pakatan Harapan atau BERSATU.

Ada seorang penyokong Pas bangga dengan dapatan kajian tersebut dan menyatakan Pas sahaja telah mendapat 21% sedangkan Pakatan Harapan dan Bersatu iaitu 4 parti kesemuanya hanya mendapat 24%. Ini bererti, katanya, setiap parti hanya mendapat 6%!

Pepatah mana saya tak ingat ada mengatakan “seperti beruk mendapat bunga”. Menghargai bunga dari sudut yang sempit, dimakannya!

Begitu juga dengan dapatan INVOKE. Entah apa dirumuskan apabila yang mendapatnya tidak memahaminya. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa dalam keadaan tiga penjuru, yang tercorot adalah Pas.

Dan bergantung kepada peratusan pengundi bukan Melayu, Pakatan Harapan+BERSATU ada harapan untuk menang di beberapa kerusi. Tetapi Pas akan hilang kesemuanya. Sepertimana hilangnya bunga yang dimakan beruk tadi.

Namun, dalam tulisan saya ini, saya hanya ingin melihat betapa undi Melayu untuk Umno dan Pas telah berkurang dengan begitu mendadak. Umno dahulu mendapat 60% undi Melayu. Sekarang hanya tinggal 41%.

Pas dahulu mendapat dalam 30% lebih. Sekarang hanya tinggal 21%. Dan trend menurun untuk kedua-dua parti tersebut berterusan hingga sekarang. Sambil itu trend menaik untuk BERSATU dan AMANAH juga semakin ketara.

Oleh itu, kesimpulan yang boleh diperolehi dari kajian INVOKE adalah bahawa tiga penjuru adalah satu disaster bagi Pas. Kalau pengundi Melayu menolak Pas, pengundi bukan Melayu lebih lagi.

Dengan itu Pas seharusnya berfikir mengenai keadaannya. Pas boleh terus berbangga dengan 21%nya tetapi hakikatnya 21% tidak akan memenangkannya di mana-mana kerusi.

Saya rasa pimpinan atasan Pas sudah mula sedar. Hanya yang di peringkat bawah yang berseronok dengan dapatan INVOKE. Seperti beruk yang seronok kerana dapat makan bunga itu.

Saya tidak merasa hairan kalau tiba-tiba pimpinan tertinggi Pas akan melakukan u-turn terhadap Pakatan Harapan dan BERSATU.

Namun kalau dilakukan u-turn kali ini, terpaksalah ditelan dahulu berbagai-bagai maki hamun dan kata-kata angkuh dan bongkak yang telah Pas keluarkan sebelum ini. Akan tetapi sudah pasti akan ada dalilnya untuk Pas berbuat demikian.

Bagi Pakatan Harapan+Bersatu, dapatan INVOKE wajar diterima sebagai justifikasi untuk terus maju ke depan tanpa menunggu Pas.

Dalam tempoh sekarang hingga ke ambang PRU14, sekiranya dapat diambil dari Umno 7% dan dari Pas 4% lagi, maka kedudukan pada ketika itu akan menjadi Umno/BN 34%, Pas 17% dan Pakatan Harapan+Bersatu 35%.

Dalam keadaan sebegitu Umno/BN akan kecundang walaubagaimana diubah sekalipun persempadan kawasan-kawasan pilihan raya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *