Mursyidul Am Pas tegaskan boleh bekerjasama dengan Umno, selari dengan politik matang

KUALA LUMPUR: Pas berkata ia memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana beranggapan parti Melayu itu masih boleh diharapkan berbanding dengan pihak lain yang “anti Islam”.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menyifatkan pendekatan Pas terhadap Umno itu adalah selari dengan “politik matang” yang diajar Nabi Muhammad.

“Kita memilih antara dua kemudaratan – bertaawun dengan orang Islam yang zalim atau bertahaluf dengan orang bukan Islam yang keras sikapnya terhadap Islam,” tulis Hashim dalam kenyataan diterbitkan lidah rasmi Pas, Harakahdaily, Sabtu lalu.

Hashim berkata, Pas masih tidak akan berkompromi dengan apa yang dipanggilnya “semua bentuk kezaliman dan penyelewengan Umno/BN”.

“Tetapi kita harus mengakui mereka adalah kelompok orang Islam yang masih boleh dimanfaatkan untuk membela Islam seperti isu Rohingya, Palestin dan pindaan Akta 355 juga.

“Berbanding dengan DAP yang mempunyai sikap yang keras terhadap Islam, anti Islam dan sentiasa menolak sebarang usaha menegakkan Islam,” tambahnya, merujuk sokongan Umno terhadap usaha Pas meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberikan kuasa menghukum pesalah Islam.

Sejak muktamar tahunannya pada 2015 yang menyaksikan tewasnya pemimpin yang mahu meneruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Pas dilihat mengambil pendekatan lebih mesra terhadap Umno di bawah presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Mursyidul Am, Datuk Haron Din, yang meninggal dunia September lepas.

Yang terkini, Pas turut sama dengan Umno melancarkan kapal dimuatkan bantuan untuk penduduk Rohingya dalam majlis yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Parti itu sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan beberapa parti pembangkang, dan masih belum membuat keputusan mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hashim berkata, Pas yakin Umno akan melahirkan pejuang Islam, sambil merujuk sejarah awal Islam yang menyaksikan pembelotan beberapa pemimpin yang menentang Nabi.

“Seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuang-pejuang Islam daripada sulbi penduduk Taif, Pas juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *