Mohamad Sabu yakin takfiri sudah ke hujung, Maqasid Syariah akan isi lompong Islam

SHAH ALAM: Apabila agenda perjuangan takfiri berada di penghujung, mereka akan tewas dan kecundang, sebaliknya perjuangan berdasarkan pemikiran maqasid syariah akan menggantikan lompong Islam semasa.

Menurut Presiden AMANAH, Mohamad Sabu perjuangan golongan takfiri (suka mengkafirkan pihak lain) tidak menguntungkan Islam langsung tetapi lebih merosakkan perpaduan ummah dan menjauhkan orang Islam daripada menghayati Islam yang sebenar.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, orang bukan Islam pun terkesan dengan agenda takfiri ini apabila mereka sering dikecam, diherdik dan dijadikan musuh atas nama Islam menyebabkan nama dan imej Islam tercelar pada mata mereka.

Beliau yakin perjuangan yang dibawa oleh AMANAH di negara ini akan diterima oleh rakyat samada orang Islam mahupun yang bukan Islam tidak lama lagi berbanding dengan perjuangan golongan takfiri yang semakin hari terserlah wajah mereka.

“Pemikiran maqasid syariah akan berlawan dengan pemikiran takfiri, dan pemikiran maqasid akan menang kerana pemikiran takfiri sudah sampai ke penghujungnya,” kata Mohamad Sabu.

Beliau berucap menyempurnakan perasmian penutup Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) bertemakan “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa” kira-kira jam 5.00 petang anjuran AMANAH Nasional telah diadakan di Auditorium Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7 Shah Alam, 5 Februari yang dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada ahli AMANAH, pemimpin politik dan pelajar universiti.

Pada majlis ini, Ustaz Ahmad diberi penghargaan melancarkan sebuah buku dan tiga risalah sebagai rujukan masyarakat Islam berkaitan Maqasid Syariah bermodelkan Malaysia, sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan Pengarah NUNJI ’17, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Buku berjudul “Islam dan Kenegaraan-Satu Pembaharuan Dalam Konteks Fiqh Malaysia” dan tiga buah risalah masing-masing bertajuk “Islam dan Demokrasi”, “Fiqh Muwothonah” dan “Pelaksanaan Hudud” yang diterbitkan oleh Panel Penyelidik NUNJI ini, dijual dengan harga RM50 satu set.

Sebelum itu, Dialog Kepimpinan diadakan bagi mengupas tajuk “Mempersada Pemikiran Maqasid Syariah Dalam Perjuangan AMANAH” menampilkan tiga ahli panel terdiri daripada Naib Presiden AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; Pengarah Strategik AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Pemuda AMANAH, Nik Razak Bik Redhuan.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa bertajuk “Kerangka Awal Fiqh Siasi Manhaj Malaysia”, diikuti Ustaz Wanji Wan Husin mengupas tajuk “Memahami Disiplin Maqasid” dan Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil yang membincangkan tajuk “Siasah Syariyyah Dalam Pembentukan Negara Bangsa”.

Tetamu khas yang dijemput dari Kanada, tokoh pemikir Maqasid Syariah, Dr Jasser Auda pula turut membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Negara Madani dan Referensi Dalam Prinsip Islam dan Maqasid Syariah”.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *