AMANAH akan jadi pelopor institusikan Maqasid Syariah dalam konteks fiqh siasi manhaj Malaysia

SHAH ALAM: Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang menegaskan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menjadi pelopor ke arah menginstitusikan idea syariat menerusi Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) bukan sahaja untuk kefahaman ahlinya bahkan masyarakat Malaysia umumnya dalam konteks gerakan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan NUNJI 2017 anjuran AMANAH Nasional di Auditorium Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7 Shah Alam, 5 Februari yang dihadiri 1,007 peserta terdiri daripada ahli AMANAH, pemimpin politik dan pelajar universiti.

Antara pimpinan AMANAH yang hadir NUNJI 2017 di Auditorium Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7 Shah Alam, semalam.

Beliau yakin NUNJI ’17 yang bertemakan “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa” akan dapat memberikan kekuatan dalam pembinaan pemikiran dan kefahaman tentang disiplin mengenai Maqasid Syariah.

“Insyaallah akan dapat diperkasakan dalam rangka memahami politik kenegaraan yang bersifat kontemperori dalam konteks Malaysia dan berjaya membantu pembentukan fiqh siasi manhaj Malaysia,” katanya.

Katanya, Islam melahirkan kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan melalui syariat yang ruh dan kehendaknya adalah mencapai tujuan besar atau Maqasid Syariat.

Menurut beliau yang juga Penaung NUNJI ’17, memperjuang tertegaknya nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sejagat adalah perjuangan syariat yang dicerminkan melalui dasar-dasar sosial dan politik.

“Pandangan yagng mengatakan buat hudud amaka segalanya akan selesai adalah titik perbezaan yang nyata antara AMANAH dan parti Islam yang lain.

“Bagi AMANAH, memperjuangkan tujuan syariat untuk ditegaskkan adalah keutamaan dalam mencapai keadilan sosial dan pembahagian ekonomo yang adil,” ujar beliau.

Ustaz Ahmad berkata, bagi menjelaskan apakah ciri-ciri tujuan rahmat islam yang dibawa, maka NUNJI yang merupakan wasilah pendidikan dan kajian telah menyediakan tajuk-tajuk yang amat relevan kepada memperkasakan tujuan utama syariat didatangkan dalam disiplin ilmu Maqasid Syariah.

“Saya ingin ucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pelaksana NUNJI ’17 yang bekerja keras menjayakan persidangan sehari ini,” ujar beliau sambil meraikan kegembiaraan atas sambutan para peserta yang hadir.

NUNJI ’17 yang merupakan kali kedua diadakan selepas penganjuran kali pertama pada 2015 dengan menampilkan beberapa pembentang kertas kerja dalam persidangan sehari ini.

Pada majlis ini, Ustaz Ahmad diberi penghargaan melancarkan sebuah buku dan tiga risalah sebagai rujukan masyarakat Islam berkaitan Maqasid Syariah bermodelkan Malaysia, sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan Pengarah NUNJI ’17, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Buku berjudul “Islam dan Kenegaraan-Satu Pembaharuan Dalam Konteks Fiqh Malaysia” dan tiga buah risalah masing-masing bertajuk “Islam dan Demokrasi”, “Fiqh Muwothonah” dan “Pelaksanaan Hudud” yang diterbitkan oleh Panel Penyelidik NUNJI ini, dijual dengan harga RM50 satu set.

Majlis yang tamat kira-kira jam 5.00 petang itu diakhiri dengan ucapan dan perasmian penutup oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Sebelum itu, Dialog Kepimpinan diadakan bagi mengupas tajuk “Mempersada Pemikiran Maqasid Syariah Dalam Perjuangan AMANAH” menampilkan tiga ahli panel terdiri daripada Naib Presiden AMANAH, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; Pengarah Strategik AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Pemuda AMANAH, Nik Razak Bik Redhuan.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa bertajuk “Kerangka Awal Fiqh Siasi Manhaj Malaysia”, diikuti Ustaz Wanji Wan Husin mengupas tajuk “Memahami Disiplin Maqasid” dan Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil yang membincangkan tajuk “Siasah Syariyyah Dalam Pembentukan Negara Bangsa”.

Tetamu khas yang dijemput dari Kanada, tokoh pemikir Maqasid Syariah, Dr Jasser Auda pula turut membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Negara Madani dan Referensi Dalam Prinsip Islam dan Maqasid Syariah”.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *