Najib Razak dan UmnoBN terus lakar prestasi terburuk dalam sejarah – Haniza Talhah

Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno-Barisan Nasional meneruskan prestasi terburuk dalam sejarah yang dipimpin MO1 apabila terus menambah derita rakyat dengan kenaikan 20 sen RON95 dan RON 97 serta diesel ditambah dengan keperitan pembayaran cukai barangan dan perkhidmatan 6 peratus.

Ini bermakna sepanjang bulan pertama dan kedua pada 2017 ini rakyat dibebankan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 40 sen, diesel sebanyak 30 sen dan RON97 sebanyak 35 sen.

Ini sesuatu yang tidak munasabah.

Impak kenaikan ini sejak awal Januari memberi kesan maksimum kepada kenaikan barangan dan perkhidmatan seterusnya melonjakkan ketirisan perbelanjaan rakyat apabila sudah dibebani dengan pelbagai kenaikan sebelum ini.

Kita membidas kenyataan pimpinan Umno-BN yang berterusan mencanang propaganda menyatakan harga minyak di negara ini antara terendah di dunia tanpa mengira faktor lain yang perlu diambil kenyataan.

Jika begitu lebih baik menyatakan harga minyak di Malaysia lebih murah daripada planet Marikh!

Progam pemberian minyak percuma oleh pemimpin umno Taman Medan sehari selepas harga minyak dinaikkan jelas membuktikan betapa hipokritnya pimpinan Umno berlagak baik untuk terus memperbodohkan rakyat

Kenaikan harga bahan api ini dan pelbagai jenis kenaikan harga dan perkhidmatan hanya membuktikan kegagalan ‘Najibnomics’ dalam mengurus ekonomi tatkala hutang negara terus melambung dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rakyat mempersoalkan ke mana penggunaan setiap sen cukai GST dikutip yang dikatakan lebih RM40 bilion setahun. Apakah tiada mekanisme untuk membantu mengurangkan impak kesengsaraan rakyat?

Kita juga mempertikaikan ke mana perginya ‘hero jadian’ yang kononnya bersungguh-sungguh dalam isu 20 sen beg plastik di Selangor, tetapi dalam isu kenaikan harga bahan api ini diam membisu.

Mekanisme pengapungan harga dilaksanakan Kerajaan Persekutuan juga perlu dikaji dari semasa ke semasa. Perlunya rombakan besar-besaran cara kenaikan harga setiap bulan.

Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan dasar prorakyat bukan terus mengeringkan kantung wang rakyat.

Rakyat juga disaran sudah tiba masanya berani membawa perubahan dalam Pilihan Raya Umum ini dengan melaksanakan undian asal bukan BN.

Cukup-cukuplah segala macam kegagalan BN dalam melaksanakan dasar yang akhirnya menjerut rakyat.

>> Kenyataan media Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat dan Adun Taman Medan I 5 Februari 2017

 

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *