ARiF, Pemuda AMANAH Sabah ganding bahu bantu pusat penjagaan haiwan terbiar SPCA

KOTA KINABALU: Tidak hanya prihatin terhadap kebajikan masyarakat di sekitar, nasib haiwan terbiar turut mendapat perhatian ARiF dan Pemuda AMANAH Sabah.

Selepas mengetahui aduan pusat penjagaan haiwan terbiar yang diuruskan Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Sandakan memerlukan bantuan untuk menampung kos perbelanjaan pusat jagaan tersebut, ARiF Sabah yang aktif dengan kegiatan kemasyarakat dan bantuan kebajikan terus menghulurkan bantuan.

Lebih 280 ekor anjing dan kucing terbiar ditempatkan di pusat jagaan ini.

Bantuan yang dihantar berupa makanan seperti Friskies, Pedigree serta bahagian ayam yang mentah seperti leher dan dada.

Rombongan seramai 10 orang itu diketuai oleh Setiausaha ARiF Sabah, Yunizam Yusop dan Ketua Pemuda AMANAH, Khairuddin Daud.

Menurut Yunizam, ini adalah bantuan kebajikan kali pertama dihantar kepada pusat penjagaan haiwan terbiar ini dan akan ada bantuan susulan selepas ini.

“Bantuan kali ini adalah bantuan kali pertama yang dihantar. Kami mendapat aduan daripada salah seorang staf di pusat penjagaan ini dan kami terus mengerakkan usaha mengutip sumbangan daripada penyumbang yang prihatin terhadap nasib haiwan terbiar ini.

“Usaha mengutip sumbangan untuk membantu SPCA tidak akan terhenti hanya setakat hari ini. Banyak pihak mahu turut sama memberi sumbangan demi memastikan haiwan yang terbiar ini mendapat makan dan rawatan yang minima,” katanya.

Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan Sandakan telah beroperasi selama empat tahun bermula daripada tahun 2012 dengan sumber dan dana yang terhad.

Lebih 280 ekor anjing dan kucing terbiar telah ditempatkan di sini dan dijaga oleh tiga orang staf sahaja.

Menurut salah seorang staf pengurusan SPCA Sandakan, Chong Yem Ping, kos operasi penjagaan sehari untuk pusat penjagaan ini menelan anggaran belanja sebanyak RM8,000.

Dana untuk pusat penjagaan ini kebanyakannya disumbangkan oleh orang ramai dan juga badan kebajikan haiwan antarabangsa.

Orang ramai juga boleh mengambil kucing atau anjing untuk dijadikan haiwan peliharaan dengan hanya membayar RM40 dan mengisi borang.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau membantu boleh menghubungi hotline mereka di talian 010-2278911.

>> Laporan wartawan Asraf Sharafi I 5 Februari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *