Salahuddin dakwa reputasi buruk MO1 punca sebenar pelabur Saudi Aramco tarik diri

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa, penarikan pelaburan syarikat Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) daripada projek mega Rapid Petronas di Penggerang, Johor berkemungkinan berpunca daripada reputasi buruk individu yang digelar sebagai “MO1” (Malaysian Offcial No 1) dalam skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, jawapan diberikan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkaitan dengan penarikan semula pelaburan syarikat Saudi Aramco sangat tidak menyakinkan.

“Sangat tidak meyakinkan penjelasan Menteri Kewangan Kedua yang memberikan jawapan sekadar melepaskan batuk ditangga berkaitan isu syarikat Aramco kerana menarik diri secara mengejut dari projek Rapid Petronas Pengerang.

“Penarikan pelaburan besar sebuah syarikat Saudi Aramco yang bernilai AS$27 bilion dari projek mega Rapid Petronas di Penggerang, Johor berkemungkinan berpunca daripada reputasi buruk MO1 dalam isu 1MDB yang menjejaskan imej negara,” tegas beliau dalam kenyataan kepada Amanahdaly.

Salahuddin mengulas kenyataan Johari yang dipetik berkata Petronas memang membiayai sendiri projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) sejak awal sedangkan,rancangan pembabitan Saudi Aramco untuk projek Rapid itu hanyalah suatu pilihan.

Pada Isnin lalu, beliau mendesak Najib menjelaskan punca pembatalan perjanjian kerjasama antara Saudi Aramco dan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.

Ini ekoran laporan media bahawa syarikat minyak dan gas gergasi Arab Saudi itu merancang untuk menangguhkan kerjasama dengan Petronas, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang masa depan projek berkenaan.

Manakala media asing Reuters pada 27 Januari melaporkan Petronas akan meneruskan projek itu demi memastikan operasi Rapid bermula pada 2019, walaupun tanpa penyertaan Saudi Aramco.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, laporan yang disiarkan itu menjadi satu isu besar yang melibatkan intergriti negara dan rakyat apabila satu jumlah pelaburan yang bernilai puluhan bilion ringgit tiba-tiba hilang begitu sahaja.

AMANAH, tegasnya sangat bimbang dengan tindakan perundangan yang tegas oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura telah menambah buruk lagi imej dan reputasi Malaysia yang sudah pasti menjejaskan peluang FDI dan perniagaan di negara ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *