Apakah Umno benarkan regu baharunya Pas jalin kerjasama dengan PPBM?

Perjumpaan antara Pas dan PPBM pada 2 Feb 2017 nanti sudah tentu menarik parhatian semua pihak khususnya pemerhati dan penggerak politik tanahair terutamanya pimpinan Umno.

Ini disebabkan tujuan pertemuan itu tidak lain daripada untuk membincang dan mencari ruang kerjasama antara dua pihak bagi menghadapi PRU14 nanti.

“Menariknya apabila Pas dan PPBM sedang merangka untuk mengorak langkah mencari ruang membentuk kerjasama tetapi dalam masa yang sama Pas dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan ‘kerjasama’ dalam istilah ta’awun.

Walaupun hubungan kerjasama Pas dan Umno tidak dinamakan ‘kerjasama politik’ secara terang-terangan tetapi Umno dan Pas begitu selesa dengan pendekatan ta’awun yang sudah tentu kedua-dua parti mahukan pulangan keuntungan politik (political mileage) dari pendekatan ta’awun tersebut.

Umno sudah pasti berpuas hati apabila Pas bertegas dan Istiqamah untuk tidak menerima DAP dan AMANAH serta tidak menyertai Pakatan Harapan, persoalannya adakah Umno akan membiarkan rakan ta’awunnya iaitu Pas menjalinkan kerjasama politik dengan PPBM yang menjadi ancaman pada Umno untuk menghadapi PRU14 bagi tujuan mengalahkan UmnoBN.

Rakyat sedang memerhati, adakah Umno akan menghalang kerjasama rakan ta’awunnya ataupun Umno akan menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai beban yang bakal dipikul rakan ta’wunnya iaitu Pas daripada kerjasama ini untuk memaksa Pas menolak kerjasama ini.

Apakah 2 Feb 2017 nanti akan menyaksikan tandatangan persefahaman dokumen kerjasama Pas dan PPBM berserta dengan persetujuan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU14 nanti?

Secara peribadi adalah diharapkan jalinan kerjasama Pas dan PPBM dimeterai untuk membolehkan Pas kembali berada dalam arus perdana politik Malaysia bersama rakyat dalam ‘pakatan besar pembangkang’ (Grand Coalition) iaitu Pakatan Harapan untuk meranapkan UmnoBN dalam PRU 14 nanti.

Tiada maknanya kerjasama PPBM dan Pas ini kepada rakyat Malaysia jika sekadar berada dalam blok ketiga dan ‘mengasingkan diri’ dari rakan parti pembangkang yang lain. Penantian yang mendebarkan untuk kepentingan rakyat dan negara tercinta.

DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
31 Jan 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *