Pas akan bersama Umno kongsi pentas hadiri majlis pelancaran misi “Food Flotilla For Myanmar”

KUALA LUMPUR: Pas mengesahkan parti Islam itu sekali lagi akan berkongsi pentas dengan Umno pada majlis pelancaran misi “Food Flotilla For Myanmar” yang dijadualkan bertolak ke Myanmar pada 3 Februari ini.

“Insya-Allah. Ada wakil Pas yang hadir,” kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan ketika dihubungi FMT bagi mengesahkan perkara itu.

Misi pelayaran Flotilla akan bertolak dari Pelabuhan Klang selepas solat Jumaat bagi membantu kira-kira 70,000 orang di Teknaf, Bangladesh dan hampir 150,000 orang di Sittwe, Myanmar.

Lebih 240 delegasi yang mewakili 40 badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara akan turut serta dalam kerja mengedar bantuan, merawat, mendirikan khemah, memasak dan melihat keperluan kanak-kanak dan wanita di kem pelarian Rohingya.

Menggunakan Kapal Nautical Aliya, misi itu akan membawa 1,500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat yang terjejas di Rakhine, barat Myanmar.

Bagaimanapun, Nasruddin tidak dapat mengesahkan sama ada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyertai majlis pelancaran itu atau tidak.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Pas akan menyertai majlis pelancaran misi itu.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *