Dr Mahathir lancar “Kempen Membantah Pembelian Ladang PT Eagle Plantation” di Felda Jengka 8

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan melancarkan “Kempen Membantah Pembelian Ladang PT Eagle Plantation” pada 3 Februari ini di Felda Jengka 8, Jerantut Pahang, bermula 9 malam.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, kutipan tandatangan dengan sasaran 100,000 akan digerakkan, dan kemuncaknya adalah himpunan di Menara Felda untuk menyerahkan memorandum bantahan bersekali kutipan tandatangan.

Katanya, selaku bekas Perdana Menteri yang sarat dengan pengalaman, Dr Mahathir dijangka membuat pengumuman penting demi menangani situasi kritikal yang dihadapi 112,635 orang peneroka.

“Ia adalah berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh para peneroka yang sedang bergelut dengan hutang dan berbagai perjanjian yang berat sebelah,” katanya kepada Amanahdaily.

“Moga-moga Jelajah Semarak Kasih Felda ini berupaya merangsang kesedaran dan gelombang perubahan di 54 kawasan Parlimen dan 92 Dun di seluruh 317 Tanah Rancangan Felda,” tegas Mazlan yang juga Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH.

Sebelum ini, ANAK dengan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan mewujudkan Taskforce Semarak Kasih Felda, ia bagi meningkatkan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat Felda yang sedang berdepan krisis dan cabaran semasa.

Bagi maksud tersebut, kata Mazlan, Jelajah Semarak Kasih Felda telah dilancarkan pada 21 Januari lalu di Felda Taib Andak, Kulai oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut menjemput para pemimpin politik, NGO, pengamal media dan orang ramai khususnya warga Felda hadir beramai ramai acara pelancaran “Kempen Membantah Pembelian Ladang PT Eagle Plantation” pada 3 Februari ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *