Orang besar-besar kerajaan saja yang dicekup, apakah orang politik tidak rasuah?

Sejak kebelakangan ini, berita wajib yang boleh didengar setiap hari di negara kita adalah tangkapan demi tangkapan oleh SPRM berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Setiap hari ada saja tangkapan yang dilakukan, kadangkala sampai dua tiga tangkapan yang menjadikan ia bualan hangat di mana-mana. Efisen dan kerja kuat sungguh SPRM ini!

Pegawai perkhidmatan awam, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan adalah tiga sasaran utama SPRM setakat ini dalam usaha mereka membanteras gejala rasuah yang makin membarah.

Semua orang secara umumnya setuju dan mengalu-alukan tangkapan demi tangkapan dan pendakwaan demi pendakwaan yang dilakukan itu kerana mereka adalah pengkhianat kepada negara.

Dalam kes-kes yang serius, ramai pula yang berkata, elok saja ditembak mati mereka yang bersalah itu. Denda dan penjara tidak lagi menakutkan pelaku-pelaku rasuah.

Tetapi, dengan hanya pegawai awam, pengurus agensi kerajaan dan pengarah syarikat berkaitan kerajaan saja yang ditangkap dan didakwa, orang ramai mula muak dan tertanya-tanya, golongan tersebut sahajakah yang melakukan rasuah, kenal duit ringgit dan selalu bermewah di negara kita ini?

Bagaimana dengan pemimpin politik yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri, orang politik yang mengelilingi kementerian, pengerusi agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan?

Bukankah kuasa lebih berpusat kepada pemimpin-pemimpin politik yang menerajui kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan?

Apabila kakitangan awam sehingga Ketua Setiausaha, pengurus kanan agensi dan pengarah urusan syarikat berkaitan kerajaan diserbu dan ditangkap kerana kesalahan rasuah, adakah pemimpin politik yang merupakan peneraju kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan turut sama disiasat atau dibiarkan begitu saja?

Setelah sekian banyak tangkapan dan pendakwaan dilakukan, tetapi tiada satu pun melibatkan orang-orang politik, masyarakat juga ingin tahu, adakah orang politik di negara kita ini bersih-bersih belaka?

Apakah kejadian rasuah yang berlaku selama ini di luar pengetahuan orang politik sedangkan orang politiklah yang menjadi menteri dan pengerusi agensi serta syarikat berkaitan kerajaan?

Munasabahkah orang politik yang menjadi menteri dan pengerusi tidak tahu apa-apa?

Selama ini bukanlah rahsia bahawa orang politik, jangan kata menteri, timbalan menteri, setiusaha politik atau pengerusi agensi serta syarikat berkaitan kerajaan, malah pegawai khas dan setiausaha akhbar menteri pun ramai yang kaya raya, memiliki rumah besar dan menayang berkereta mewah ke sana sini?

Jika mereka terlihat begitu kaya dan selalu bergaya, daripada mana datangnya kekayaan itu?

Adakah mereka keturunan kaya raya, memiliki banyak peninggalan keluarga atau suka menabung sejak kecil?

Jika di rumah pegawai kerajaan yang diserbu dan ditangkap sebelum ini didapati ada berjuta-juta wang tunai tersimpan di rumah mereka, kenapa tidak SPRM cuba menyerbu rumah orang-orang politik pula?

Mungkinkah juga orang-orang politik ini terlalu pintar dan licik serta mengamalkan prinsip “pandai makan pandai simpan” sehingga tidak mudah untuk masuk perangkap SPRM?

Atau kah tiadanya tangkapan terhadap orang-orang politik, sebaliknya hanya pegawai kerajaan dan agensi saja yang disasarkan, ia lebih bertujuan untuk memberi gambaran cantik tentang wajah politikus-politikus, khususnya Perdana Menteri dan menteri-menteri menjelang pilihanraya akan datang?

Bolehkah Umno dan BN terus menang dengan cara begitu sedangkan kes RM2,600 juta dan RM42 juta yang dikaitkan dengan Najib Razak siang malam terus menerus menjadi bualan rakyat?

>> Komentar bebas penulis politik prolifik Shahbudin Husien I 27 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *