Mahasiswa desak Naib Canselor UMS gugurkan pertuduhan tatatertib ke atas siswa

Pada 24 Januari 2017 yang lalu, saya telah menghantar surat temu janji untuk bertemu dengan Naib Canselor kepada orang kanan Datuk Naib Canselor melalui serahan tangan di bangunan Canselori.

Permohonan surat untuk bertemu Datuk Naib Canselor pada 25 Januari 2017 (Rabu) telah telah diterima oleh pihak mereka dan mereka sudah sedia maklum mengenai perjumpaan tersebut.

Kelmarin, saya telah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menghantar surat permohonan pengguguran pertuduhan dan membuat perbincangan secara terus dengan Datuk Naib Canselor berkenan pertuduhan tatatertib yang dikenakan keatas kami.

Dihalang Masuk Dan Bertemu Dengan Datuk Naib Canselor.

Setibanya kami di perkarangan Canselori, kami telah dilarang masuk oleh Polis Bantuan yang bertugas di sana atas arahan orang kanan Datuk Naib Canselor.

Kami diminta tunggu di luar sementara menunggu beliau turun untuk berurusan dengan kami di ruang legar Canselori.

Dalam tempoh masa tersebut, kami telah dibawa bertemu dengan Pegawai Khas Naib Canselor yang berada di sana. Kami diminta untuk tidak mengganggu masa Datuk Naib Canselor dengan tuntutan desakan tersebut.

Malah, beliau meminta untuk kami merujuk surat desakan tersebut kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMS sebelum dibawa kepada Datuk Naib Canselor.

Kami menegaskan bahawa temu janji dan surat yang dibuat adalah untuk Datuk Naib Canselor, bukan untuk TNC HEP. Kami cuba untuk naik ke Canselori untuk bertemu dengan orang kanan Datuk NC untuk sampaikan surat desakan tersebut kepada orang kanannya sahaja.

Namun, kami telah dihalang untuk berbuat demikian. Setelah rundingan dan perbincangan yang dibuat gagal untuk menemukan kami dengan Datuk Naib Canselor mahupun orang kanannya, kami diminta meninggalkan perkarangan Canselori tersebut.

Rundingan dan surat permohonan gagal disampaikan.

Mahasiswa telah cuba berkompromi dengan segala sistem yang ada. Pintu rundingan juga telah dibuka sebagai menghormati pentadbiran universiti.

Namun, ruang rundingan tersebut ditutup tanpa alasan yang kukuh diberikan kepada kami. Tindak tanduk yang ditonjolkan oleh pihak pentadbiran universiti seakan-akan sedang mempermainkan usaha rundingan yang kami cuba laksanakan.

Jika ini adalah respon yang diberikan oleh pihak pentabiran tertinggi UMS, secara tidak langsung mereka memberikan desakan yang lebih kuat untuk kami bawa perkara ini di peringkat yang tertinggi.

Sehingga kini, bukti sah pengharaman Bersih 5 tidak dapat pihak UMS kemukakan, ini bermakna Pekeliling Khas Naib Canselor yang dikenakan keatas kami juga tidak relevan untuk dijadikan asbab pertuduhan.

UMS dilihat tidak menggunakan dan memahami konsep Keadilan Asasi yang sebenarnya.

Desakan ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pihak UMS kelihatan masih tidak serius dengan segala usaha perundingan yang dibuat oleh mahasiswa.

Oleh itu, dalam mendesak pentadbiran universiti agar menarik semula pertuduhan sebelum tiba tarikh prosiding, kami akan bawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam masa yang terdekat, isu ini akan kami bawa ke KPT untuk perhatian di peringkat kementerian diatas segala tindak tanduk yang dibuat oleh pihak universiti. Kami sangat serius dalam perlawanan sistem yang semakin menjerut kebebasan mahasiswa hari ini.

Mahasiswa akan terus bangkit melawan.

Kami tidak akan berdiam diri dengan penindasan ini. Kami akan terus bangkit melawan apa jua bentuk penafian terhadap hak-hak rakyat.

Pembawaan isu hingga KPT ini kami gunakan sebagai medan untuk mempertahankan hak mahasiswa beraktivisme yang saban hari dicabuli.

Kami percaya segala ancaman terhadap mahasiswa ini adalah respon pihak berautoriti yang semakin gerun terhadap suara anak muda.

Mereka menyangka hukuman yang diberikan akan dapat menutup mulut mahasiswa untuk bersuara. Namun, mahasiswa akan terus bangkit dan memastikan segala bentuk birokrasi dan ancaman kepada mahasiswa yang dibuat universiti akan gagal.

>> Komentar bebas
aktivis Pro-Mahasiswa UMSKAL
dan Jurucakap Himpunan #TangkapMO1, Aqilah Zainuzi I 27 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *