AMANAH mahu SPRM siasat pengurusan kewangan ketika Felda dipimpin Isa Samad

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa satu siasatan menyeluruh dibuat ke atas pengurusan kewangan Felda termasuk semasa di bawah pentadbiran pengerusi terdahulu, Tan Seri Mohd Isa Samad.

Semalam, 5 orang termasuk 2 bekas pegawai kanan Felda ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira AS$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

Semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Ops Caviar.

Laporan media menyebut kejadian itu berlaku sejak tahun 2014 iaitu semasa Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda.

“Saya ingin mempersoal apa yang Mohd Isa buat sepanjang menerajui agensi kerajaan itu?

“Adakah beliau selaku pengerusi, langsung tidak mengetahui penyelewengan sebesar itu berlaku?” soal Salahuddin dalam satu kenyataannya kepada Amanahdaily.

Beliau berkata, umum sedia maklum Felda sejak dibawah Mohd Isa mengalami kerugian jutaan ringgit beberapa tahun kebelakangan ini akibat kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek di bawah mereka dan ianya disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015.

Selain itu, tegas beliau, terbaru beberapa kajian menyebut bahawa Felda akan kerugian sebanyak RM7.8 bilion lagi jika mengambil keputusan menyahsenaraikan FGV dari bursa saham.

AMANAH kata Salahuddin menegaskan bahawa Felda yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak adalah bertujuan untuk membantu ekonomi rakyat di luar bandar dan ianya haruslah diurus oleh mereka yang mempunyai integriti dan wibawa yang tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Felda akur dan bersedia memberikan kerjasama terbaik kepada SPRM berhubung siasatan kes penyelewengan Projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon, kata pengerusinya.

Tan Sri Shahrir Samad berkata, tindakan SPRM itu selaras dengan usaha Felda untuk menjalankan tadbir urus yang telus dan berintegriti.

“Saya yakin siasatan yang dijalankan ini adalah suatu yang perlu untuk ‘membersihkan’ Felda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *