Presiden PPBM anggap Shahrir ketinggalan zaman, gagal hidu kelemahan Felda

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang baharu dilantik Pengerusi Felda perlu menyelesaikan segala penyelewengan dan isu dalaman yang dialami lembaga berkenaan terlebih dahulu, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menyifatkan Shahrir sebagai ketua yang ketinggalan zaman apabila gagal menghidu segala kelemahan Felda, sebaliknya bercita-cita untuk mengembalikan semula kegemilangan lembaga berkenaan di bawah pentadbirannya.

Katanya, hasrat Shahrir tidak akan tercapai selagi isu salah guna kuasa melibatkan lembaga berkenaan gagal diselesaikan.

“Saya dengar pengerusi Felda yang baharu itu mahu kembalikan semula kegemilangan Felda seperti satu masa dahulu jadi saya tidak tahu bagaimana dia nak selesaikan masalah sebegini.

“Mungkin dia pun sebagai pengerusi dah ketinggalan zaman kerana tidak melihat dengan jelas masalah yang dihadapi Felda sekarang yang tidak seperti dahulu kerana sekarang ia sudah rosak dibuat oleh pihak pimpinan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih Bersatu Kulai di Felda Taib Andak, semalam.

Pada 6 Januari Felda melantik Shahrir sebagai pengerusi baharunya selaras dengan hasrat kerajaan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan lembaga tersebut.

Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda tetapi akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mendakwa kejatuhan prestasi Felda berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, korupsi dan campur tangan pihak kerajaan yang tidak amanah.

“Dahulu kita tahu hasil daripada nilai syarikat dan nilai hasil korporat yang ada di bawah Felda memang cukup besar sehingga bernilai berbilion ringgit. Tetapi, hairan bagaimana dalam waktu yang cukup singkat segala apa yang dibina puluhan tahun boleh hancur begitu sahaja.

“Selain itu, sebahagian besar daripada harta dan saham daripada Felda juga dilihat sudah tidak mempunyai nilai ditambah pula dengan keadaan kewangan yang agak lemah. Ini semua hanya memberi kesan buruk kepada peneroka,” katanya.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *