Najib tiada locus standi mencipta wawasan negara TN50 tanpa penyertaan 53 peratus pengundi

BUTTERWORTH: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyelar dasar Transformasi Negara 2050 (TN50) yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan, dengan mempersoalkan bagaimana BN mahu merealisasikannya sedangkan ia tidak mendapat sokongan majoriti.

“Bagaimana kerajaan minoriti dengan sokongan 47 peratus dalam undi popular pada PRU 2013, ada locus standi untuk bercakap mengenai mencipta wawasan negara untuk 2050 tanpa penyertaan penuh 53 peratus pengundi, yang menolak kerajaan BN,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut TN50 – rangka perjalanan Malaysia untuk 33 tahun akan datang – sebagai wawasan bersama yang akan memberikan rakyat Malaysia terutama golongan belia, peluang untuk membentuk negara ini dalam tempoh mendatang.

Najib, ketika melancarkan TN50 pada Khamis dalam satu sesi dialog dengan 500 pelajar Universiti Malaya yang terpilih, dilaporkan berkata, wawasan bersama itu perlu datang daripada rakyat supaya ada rasa pemilikan umum.

Malaysia dijangka mengadakan PRU14 tahun ini, sebelum tempoh penggal berakhir pada tahun depan.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan, bersama sekutu terbarunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menyasarkan untuk menawan Kerajaan Persekutuan, yang diketuai pentadbiran BN yang teruk dikecam, terjejas akibat skandal dan isu seperti kenaikan kos sara hidup.

Mengaulas lanjut, Lim berkata, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 yang menyasarkan Malaysia menjadi negara membangun sepenuhnya menjelang 2020 ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-6 di Parlimen pada 1991, beliau menerima sokongan majoriti pengundi.

Pada PRU 1990, Dr Mahathir mengetuai BN memenangi 53.4 peratus undi popular. Sokongan kepada BN meningkat 65.2 peratus pada PRU 1995 di bawah kepimpinannya.

Ironinya, Dr Mahathir baru-baru ini mendedahkan rahsia kenyataannya dalam PRU ialah memecahkan pembangkang dalam setiap PRU. Dr Mahathir, yang kini pengkritik terbesar Najib sejak beberapa tahun lalu, mengetuai parti pembangkang baharu, PPBM sebagai pengerusi.

“Ini sangat berbeza dengan Najib, yang hanya dapat 47 peratus undi popular tetapi menang 60 peratus kerusi Parlimen kerana manipulasi dan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang tidak demokratik.

“Tidak akan ada dialog negara mengenai wawasan bersama untuk masa depan, kecuali ada kesepakatan negara mengenai asas rakyat Malaysia berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, prinsip Rukunegara dan Wawasan 2020.

“Adakah TN50 penolakan atau memenuhi Wawasan 2020, dan bukankah sepatutnya ada penilaian sama ada Wawasan 2020 satu kenyataan atau kegagalan,” katanya.

Lim yang juga Penasihat DAP berkata demikian kepada penduduk kampung di Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Mertajam ketika mengadakan lawatan ke kampung berkenaan semalam.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga ditanya adakah sebahagian TN50 akan menjadikan “Malaysia kekal sebagai kleptokrasi dunia”.

“Jika tidak, apa yang patut rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, negeri, politik, gender atau umur, buat untuk membersihkan Malaysia daripada dihina dan dianggap sebagai kleptokrasi dunia,” katanya.

>> Laporan wartawan Looi Sue-Chern untuk portal FMT I 22 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *