Desakan Dr Mahathir agar kaji semula projek kereta api laju Singapura disokong

Dua ahli Parlimen pembangkang menyokong hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyemak semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) jika pembangkang berjaya memegang kuasa kerajaan persekutuan.

Dalam satu temu bual dalam Sunday Times Singapura yang disiarkan hari ini, bekas perdana menteri itu berkata jika pembangkang membentuk kerajaan, ia akan mengkaji projek itu dan sama ada Malaysia benar-benar memerlukannya atau tidak.

“Kita perlu lakukan kajian untuk melihat kebolehlaksanaan projek kerana kita tidak ada wang dan kita perlu meminjam dan itu bukan sesuatu yang boleh kerajaan tanggung ketika ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen daripada PKR berkata jika pembangkang memenangi pilihan raya, mereka akan menyemak semula perjanjian dan ekonomi daripada projek HSR untuk melihat sama ada ia terlalu mahal atau tidak.

“Jika ia tidak adil, kami akan teruskan dengan tindakan undang-undang dalam berurusan dengan projek yang tidak patut.

“Tetapi jika kontrak itu adil, kami akan terima perjanjian itu. Itu prinsip asas dalam menandatangani mana-mana perjanjian pun,” katanya kepada FMT.

Wong berkata apa yang paling pembangkang bimbangkan ialah projek HSR sejauh 350km itu menjadi beban kerana kos pembinaan terpaksa ditanggung Malaysia.

Malaysia akan membiayai untuk perjalanan sejauh 335km, sementara Singapura dijangka menanggung 15km daripada kos bangunan di kawasannya.

“Jika kita akhirnya terpaksa membelanjakan 95% kos pembinaan, ia urus niaga yang teruk untuk Malaysia. Ringkasnya, beban itu sepatutnya ditanggung secara adil antara kedua-dua negara,” kata Wong.

Sementara itu, wakil rakyat DAP Charles Santiago berkata beliau setuju projek HSR itu patut disemak semula.

Santiago berkata jika berjaya membentuk kerajaan, pembangkang juga patut menyemak semula projek mega lain seperti Landasan Kereta api Pantai Timur bernilai RM55 bilion dan projek Pelabuhan Pulau Carey sebanyak RM200 bilion.

“Kami tidak membantah projek mega tetapi perlu memastikan kita mampu menampungnya dan projek itu telus, berdaya maju dan memang diperlukan,” katanya.
Ahli Parlimen Klang itu berkata projek HSR terlalu mahal sedangkan banyak pilihan lain untuk ke Singapura yang sudah sedia ada.

Beliau mendakwa banyak projek berbilion ringgit akhirnya menjadi “projek kumpul dana” untuk sesetengah parti politik.

Katanya, itu sebabnya penting bagi projek itu menjalani tender terbuka dan telus.
Bulan lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian HSR. Kedua negara secara bersama akan menganugerahkan tender Rakan Pembangunan Bersama bagi projek yang dijangka menelan kos RM50 bilion.

Pembinaan HSR dijangka bermula awak tahun depan dan sistem itu dijangka beroperasi menjelang 2026.

Kereta api laju itu dijangka mengurangkan jumlah perjalanan antara Malaysia dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

>> Laporan bebas wartawan Robin Augustin dan Tarrence Tan | 22 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *