Bekalan ayam cukup tetapi harga tetap tidak menentu, beri impak kepada pengguna

Harga ayam berubah begitu kerap sekali. Hampir setiap hari berlaku perubahan pada harga pasaran ayam. Kenapakah perkara ini boleh berlaku?

Mengikut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, harga ayam dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan serta bergantung kepada kos pengeluaran seperti bahan mentah makanan, buruh, ubat-ubatan dan utiliti.

Walaupun harga ayam ditetapkan melalui mekanisme pasaran iaitu penawaran dan permintaan, tetapi perubahan harga yang dilihat adalah terlalu kerap dan tidak stabil.

Siapakah yang sebenarnya menetapkan harga ayam? Adakah pihak-pihak tertentu mempengaruhi harga ayam untuk membolot keuntungan yang besar? Apakah tindakan-tindakan kerajaan untuk memastikan harga ayam lebih stabil?

Daging ayam merupakan salah satu makan utama bagi semua kaum di negara ini.

Oleh itu, kerajaan harus mengambil segala usaha untuk memastikan harga ayam tidak melambung tinggi.

Dalam satu jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat, bekalan daging ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan rakyat Malaysia untuk sepanjang tahun.

Pengeluaran ayam pedaging adalah melebihi keperluan negara dengan kadar sara dirinya 105 peratus.

Kini, industri tersebut berkeupayaan untuk mengeluarkan 2 juta ekor ayam sehari iaitu bersamaan dengan 768 juta ekor ayam setahun.

Memandangkan pengeluaran ayam di negara kita adalah stabil dan mencukupi, kenapakah harganya masih tidak stabil lagi?

Peningkatan pengeluaran ayam juga adalah konsisten pada setiap tahun iaitu pada kadar 4-5 peratus setahun. Ini kerana ayam pedaging yang berada di pasaran telah dirancang pengeluarannya 60 hari lebih awal.

Kementerian berpendapat bahawa perancangan pengeluaran ayam telah dilakukan dengan baik oleh pihak industri. Tetapi kementerian juga harus sedar bahawa ketidakstabilan harga mempunyai impak terhadap kepenggunaan terutamanya kepada golongan miskin.

V. SIVAKUMAR
Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap
Timbalan Pengerusi DAP Perak
17 Januari 2017

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *