Siang malam kelibat AMANAH Sik tampil peduli terhadap masyarakat daif

SIK, KEDAH: Waktu siang yang terlalu padat dengan menyantuni segenap lapisan masyarakat tempatan memaksa AMANAH Kawasan Sik menziarahi sebuah keluarga daif malam kelmarin di Kampung Banggoi Jenerih yang terletak di kawasan pedalaman.

Ketuanya, Sulaiman Ibrahim yang juga dikenali Leman Raja Lawan memberitahu, keluarga berkenaan memperoleh pendapatan dengan bergantung kepada mengambil upah menoreh getah dan mencari tumbuhan hutan untuk dijual.

“Rumah rakyat miskin ini di pinggiran bukit jauh ke dalam memasuki kebun getah dalam kawasan Dun Belantik. Bagi memenuhi permintaan, kumpulan AMANAH Sik turun ke lapangan pada waktu malam melihat sendiri kedaifan keluarga ini.

“Rumah keluarga tersebut dalam keadaan uzur, reput dan mempunyai dapur yang kecil dengan hanya muat untuk seorang masuk,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Kediaman usang dihuni sebuah keluarga di Kampung Banggoi Jenerih menggambarkan kadar kemiskinan yang kritikal di daerah Sik.

Sehubungan itu, beliau memberitahu AMANAH Sik akan cuba sedaya upaya membantu keluarga yang mempunyai dua anak itu termasuk kemungkinan akan bekerjasama dengan badan korporat untuk mendapatkan bantuan bagi tujuan tersebut.

“Walaupun telah dilaporkan kepada pihak berwajib tetapi oleh kerana syarat untuk mendapatkan rumah harus mempunyai anak tiga orang ke atas maka keluarga ini terpaksa meneruskan kehidupan dengan berhimpit dalam kesesakan ekonomi dan tempat tinggal,” jelasnya.

Turut serta dalam kunjungan tersebut Ketua Wanita Muda AMANAH Sik, Munirah Redzuan; Ketua Awan Cawangan Kampung Kerawai, Sarimah dan Penolong Setiausaha Kerja Pentadbiran AMANAH Sik, Nur Fatihah Syafie.

Dalam hal berkaitan, seramai 10 keluarga miskin tegar di Dun Belantik telah dikenal pasti pada 16 Januari lepas melalui usaha Ahli Jawatankuasa AMANAH Sik merangkap Ketua Cawangan AMANAH Sik Dalam dan Penolong Setiausaha, Suffian.

Sementara itu, usaha AMANAH Sik membantu sejumlah pelajar daripada keluarga miskin untuk meneruskan pembelajaran dihargai beberapa pengetua serta penolong kanan sekolah menengah dan rendah di kawasan tersebut.

“Hanya ada satu daripada 21 sekolah, seorang guru bersikap acuh tidak acuh dalam memberikan kerjasama untuk pembayaran yuran.

“InsyaAllah, ekoran aduan daripada keluarga pelajar terbabit, AMANAH Sik akan berjumpa dengan pengetua dan guru kelas itu,” kata Leman lagi.

About The Author

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *